TANDUKAN padu Harry Maguire minit ke-72 diikuti penyelamatan sepakan penalti penjaga gol Andre Onana (m-97) memastikan Manchester United menang 1-0 ke atas kelab Denmark, FC Copenhagen pada awal pagi Rabu.
Tiga mata pertama selepas tiga aksi Kumpulan A diraih anak buah The Red Devils kendalian Erik ten Hag itu menyalakan kembali harapan gergasi Liga Perdana Inggeris itu untuk mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara musim ini.
Gergasi Jerman, Bayern Munich kekal mengungguli kumpulan dengan sembilan mata selepas menewaskan kelab Turkiye, Galatasary 3-1 sebelum ini.
Kemenangan sebelum itu kelihatan samar apabila Copenhagen diberikan sepakan penalti selepas Scott McTominay mengasari percubaan Elias Achouri pada minit ke-94.
Namun sepakan Jordan Larsson anak kepada bekas penyerang Celtic Henrik berjaya dinafikan Onana sebelum pengadil meniupkan wisel penamat.
"Saya hanya menjalankan tugas, perkara paling penting ialah menang menentang pasukan yang sukar.
"Saya gembira dengan kemenangan ini, kami bermain dengan yang baik ditambah dengan gol penting dijelmakan Harry.
"Kami adalah Manchester United, sebuah kelab besar yang memiliki pemain nama besar. Kami hanya menunggu masa untuk kembali cemerlang dan saya tidak ragu kami akan berjaya," kata Onana.
Maguire, yang menjadi sasaran kritikan para penyokong The Red Devils sejak beberapa bulan kebelakangan ini, mengembalikan gema penyokong di Old Trafford apabila menyudahkan hantaran Christian Eriksen.
"Ya, sungguh menakjubkan tambahan pula anda tidak bermain pada tahap prestasi sebenar permainan anda sebelum ini.
"Sejujurnya saya juga sangat bangga dan gembira dengan kemenangan ini selepas mengharungi fasa enam hingga 12 bulan ini.
"Saya telah diberi peluang dan mahu membantu pasukan dan mengembalikan kelab ke tempat yang sepatutnya," kata Maguire susulan tindakan penyokong yang melaungkan namanya.
Sebelum perlawanan, pemain dan penyokong di Old Trafford memberikan penghormatan kepada legenda kelab Bobby Charlton, yang meninggal dunia pada Ahad pada usia 86 tahun.
Sebagai rekod, kemenangan ke atas Copenhagen adalah yang pertama buat United dalam Liga Juara-Juara sejak menang 2-0 di tempat lawan ketika berdepan kelab La Liga Sepanyol, Villarreal pada 23 November 2021.