KELAB sensasi Liga Perdana Inggeris, Arsenal kembali bertenaga apabila menewaskan Sevilla, 2-1 dalam perlawanan Kumpulan B Liga Juara-Juara di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan awal pagi Rabu.
Dua gol dibutirkan Gabriel Martinelli (m-48) dan Gabriel Jesus (m-53) cukup memadam kebangkitan tandukan Nemanja Gudelj (m-58) untuk kemenangan kedua The Gunners yang kembali memeriahkan saingan tertinggi kelab Eropah itu.
Kemenangan itu membolehkan Arsenal mendahului kumpulan dengan enam mata daripada tiga perlawanan diikuti Lens kedua dengan lima mata, manakala Sevilla dan PSV Eindhoven, masing-masing dua mata.
Dalam pada itu, pengendali Arsenal, Mikel Arteta mengakui The Gunners tidak menguasai sepenuhnya perlawanan biarpun memimpin permainan dengan dua gol.
"Sangat gembira untuk kemenangan menakjubkan ini kerana tidak banyak pasukan yang melakukannya di sini dalam tempoh 10 tahun terakhir di kejuaraan Eropah.
"Kami bermain dengan permainan yang dimahukan dan mempunyai peluang untuk menyelesaikan perlawanan lebih awal dan kemudian dari satu sudut mereka menjaringkan gol," kata Arteta
Pada masa sama, Arteta mengesahkan penggantian Jesus pada separuh masa kedua disebabkan penyerang kelahiran bumi Brazil itu mengalami kecederaan.
"Dia berasakan sesuatu pada hamstringnya, jadi kita akan lihat dalam beberapa hari akan datang sama ada serius atau sebaliknya," ujarnya.