SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perhimpunan maya solidariti Palestin dalam permainan video, Roblox yang diwujudkan oleh remaja 15 tahun dari Malaysia sejak 14 Oktober lalu semakin mendapat sambutan.
Peta perhimpunan dinamakan sebagai Dataran Tanjung Mas itu merujuk kepada Muar, Johor yang difahamkan adalah tempat tinggal remaja yang membina ruang tersebut.
Perhimpunan tersebut dibina sebagai platform kepada kanak-kanak dan remaja menyatakan sokongan kepada Palestin memandangkan golongan itu tidak dibenarkan menyertai mana-mana perhimpunan atau demonstrasi secara fizikal.
Berdasarkan pemerhatian, terdapat lebih 200 pemain remaja menyertai perhimpunan berkenaan termasuk beberapa negara lain seperti Yemen, Indonesia, Australia dan sebagainya.
Seorang penstriman video menerusi TikTok @cikguzyd yang berkongsi siaran langsung perhimpunan itu memuji usaha pelajar tingkatan tiga dari Muar itu.
Bagi pempengaruh dikenali sebagai Nuha, sesuatu perkara tidak mustahil boleh berubah apabila kanak-kanak yang mula membantah isu kekejaman Israel dengan menggunakan inisiatif secara maya.
"Budak-budak sekarang idea melimpah-limpah, termasuk anak saya. Kita sokong saja aktiviti mereka,” kata Anamolis di TikTok.
"Kerajaan kita sokong Palestin, kena bagi anugerah pada pelajar dan guru mereka,” ujar Kamarudzaman Ramli.