ALOR GAJAH - Seorang pemandu maut selepas bas dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah lori di KM220.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini awal pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian 1.30 pagi itu, Zainuddin Jaidun, 49, yang cedera di bahagian badan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, tiga daripada penumpang cedera di bahagian kaki, seorang cedera di kepala manakala dua lagi cedera ringan dan seorang tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Ketika kejadian, mangsa membawa tujuh penumpang dalam perjalanan dari Singapura ke Terminal Bas Seremban manakala lori yang membawa muatan besi coli dari Melaka menghala ke Rawang.
"Siasatan awal mendapati ketika di lokasi kejadian, mangsa telah melanggar belakang lori sedang dipandu lelaki berusia 52 tahun," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Arshad berkata, mangsa tersepit akibat impak rempuhan namun berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.
Menurutnya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut.
"Semua penumpang termasuk warga Singapura dan Myanmar telah dibawa ke Hospital Rembau serta Hospital Seremban untuk menerima rawatan.
"Kenderaan terlibat telah ditahan di Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk dibawa ke Puspakom bagi pemeriksaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya. - Bernama