SHAH ALAM - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) digesa untuk bertegas terhadap pengendali media sosial yang menyekat kandungan berkaitan konflik Israel-Palestin.
Pengerusi Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, rundingan segera perlu dilakukan dalam menyelesaikan permasalahan itu kerana ia bukan perjuangan mengenai agama tetapi nilai kemanusiaan.
"Kita percaya dengan keuntungan yang diraih oleh Facebook pada 2022 sebanyak AS$582,000 sebulan membuktikan kebergantungan mereka kepada rakyat Malaysia juga tinggi.
"Jadi di sini, kita mempunyai ruang untuk menekan pengendali media sosial supaya tidak menyekat sebarang kandungan yang berkaitan konflik Israel-Palestin,” katanya kepada Sinar Harian.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memaklumkan beliau telah berhubung dengan pihak itu, namun penjelasan yang diberikan tidak memuaskan dan akan meminta panduan daripada pihak Wisma Putra tentang beberapa perkara mengenai isu terbabit.
Ujarnya, pihak media sosial Facebook atau Meta menafikan mereka membuat sekatan dan seumpamanya.
Dalam pada itu, Mohd Hakim mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu bilik operasi khas bagi melindungi pengguna sekiranya akaun mereka disekat ketika bersuara mengenai isu kemanusiaan seperti yang berlaku kini.
Ujarnya, tindakan tersebut tidak wajar dilakukan kerana setiap individu mempunyai hak untuk bersuara bukan sahaja berkaitan agama tetapi isu kemanusiaan serta kebebasan dalam berkarya.
"Badan bukan kerajaan (NGO) yang lain juga perlu bersatu dalam menentang tindakan dilakukan oleh pengendali media sosial itu.
"Kita tidak boleh membiarkan mereka membuli pengguna sehingga takut untuk bersuara kerana akan disekat sekiranya memuat naik kandungan berkaitan konflik Israel-Palestin,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Gabungan MyAqsa Defenders berkata, kempen #IsraelCuak di media sosial mendapat sambutan memberangsangkan apabila memperoleh 250 juta tanda pagar di media sosial.
Tambahnya, ia merupakan jumlah yang sangat besar dan telah membuktikan solidariti rakyat Malaysia dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.