CYBERJAYA - [DIKEMAS KINI] Semua pihak diingatkan agar menggunakan bahasa kebangsaan sewaktu berurusan dengan kerajaan termasuklah menerusi surat.
Berucap di pentas Karnival Dekad Bahasa dan Dekad Membaca Kebangsaan di sini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada masa ini masing-masing dilihat terpesong daripada asas Perlembangaan apabila tidak menggunakan bahasa Kebangsaan.
"Saya ingin peringatkan hal ini dalam kalangan syarikat tempatan dan universiti tempatan supaya arahannya siapa sahaja menulis selain bahasa kebangsaan surat itu akan dipulangkan," katanya pada Rabu.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed.
Menurutnya, penggunaan bahasa kebangsaan tidak akan sama sekali menjadikan seseorang itu berfikiran sempit.
"Saya tidak meremehkan (bahasa Inggeris) tetapi perlu mengakar di bumi berhubung pemerkasaan budaya dari sudut bahasa, sastera sesuatu yang integral dalam pembinaan bangsa," ujarnya.
Beliau berkata, dalam keghairahan meneroka alam pemikiran baharu, mencetus idea mengikut perkembangan transformasi digital, ia harus dikuasai secara bijaksana dengan mengimbangi penguasaan pelbagai bahasa dan kecanggihan teknologi.
"Jangan keghairahan kita membuat penerokaan baharu dan menggapai langit, kita tinggalkan landasan akar bumi kita," katanya.
Ujar Anwar, segenap lapisan masyarakat harus sentiasa 'mengakar bumi' dengan mengutamakan bahasa kebangsaan sementara menerobos alam pemikiran baharu.
"Ini peringatan kepada semua pimpinan termasuk universiti bahawa tuntutan zaman adalah untuk sentiasa mencari disiplin baharu, memperkenalkan idea dan penemuan baharu apatah lagi dengan alam digital," katanya.
Pada masa sama beliau berkata, sikap membaca perlu dipupuk sejak awal usia dengan dorongan ibu bapa, pendidik, guru dan pensyarah.
Menurutnya, budaya membaca harus dihidupkan kerana pembacaan dapat meningkatkan penguasaan ilmu dalam semua bidang.
"Kalau tidak, kita jadi intelektual picisan, hanya pencatat dan penukil sahaja, pilih satu atau dua (petikan) dan terus lontar idea.
"Itu kadang-kadang ia mengelirukan baik dari segi isu agama atau budaya.
"Seperti mana berlaku di negara kita dan dunia pantas menghukum hanya membaca satu ayat atau mendengar satu tazkirah tanpa usaha mendalami dan melihat secara terperinci dan mendalam," katanya.