KOTA BHARU - Walaupun diberi amaran untuk tidak menaikkan harga barangan pada musim tengkujuh, masih ada lagi peniaga yang mengenakan harga yang tinggi kepada pembeli.
Malah ada juga peniaga yang sengaja menyorok barangan seperti bawang merah di tempat lain bagi memastikan pembeli percaya bahawa bahan asas masakan itu benar-benar berkurangan.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi di sini mendapati bekalan bawang merah masih boleh didapati terutama di pasar raya besar walaupun jumlahnya agak sedikit.
Salah seorang peniaga yang ditemui, Aswani Ibrahim, 38, berkata, bawang merah kini mengalami kenaikan harga tiga kali ganda daripada biasa.
"Sebelum ini saya jual bawang bombay hanya RM2 satu plastik biasa, sekarang ini RM6. Biasanya sekilo RM6 tapi sekarang RM12.
"Berlainan pula dengan harga bawang siam, lagi mahal. Tapi mahal atau murah, pembeli tetap beli juga sebab ia merupakan satu keperluan.
"Kami pun terpaksa ikut harga semasa memandangkan kenaikan tersebut memang akan berlaku bila tiba musim tengkujuh," katanya.
Tinjauan di sebuah pasar raya di sini mendapati harga bawang merah semasa adalah RM8.90 dan sedikit turun berbanding RM10 minggu lalu.
Kemungkinan harga tersebut turun selepas keadaan banjir di negeri ini semakin pulih dan bekalan bawang mudah diperolehi.
Salah seorang pembeli, Azni Zainal Abidin, 64, berkata, sejak awal Disember lalu, kebanyakan kedai runcit di sekitar rumahnya tidak menjual bawang merah dengan alasan stok daripada pemborong tidak sampai disebabkan masalah musim tengkujuh.
"Memang saya terkejut sebab mereka kata bekalan semakin kurang dan mungkin akan putus terus. Walaupun harga naik sedikit tapi saya tetap beli juga untuk keperluan dapur," katanya.
Perkara sama diakui Asuma Omar, 63, yang mengakui harga yang dijual di kedai runcit jauh berbeza dengan pasar raya.
"Saya tidak kisah sangat tentang harga cuma risau kalau-kalau bekalan akan terputus. Tapi musim tengkujuh pun sedang beransur baik, insya-ALLAH keadaan mungkin kembali baik dan harga kembali normal," katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut memberitahu memang wujud kenaikan harga bawang merah di negeri ini.
Bagaimanapun Pengarahnya, Adnan Abd Rahman berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan rasmi melibatkan kenaikan harga tersebut.
"Harga ikan dan sayur pun ada juga berlaku kenaikan disebabkan pengurangan barang tadi. Tapi tidak terlalu tinggilah kenaikan itu.
"Harga barang-barang ini turun naik dan (mungkin) sebab itu kita tidak mendapat sebarang rungutan," katanya.