5,725 graduan IPG terima ijazah

Iklan
Sebahagian graduan IPG yang berjaya menamatkan pengajian mereka pada Istiadat Konvokesyen IPG KPM Kali ke-13 di PICC, Putrajaya pada Ahad.

Bawa ‘obor’ kecemerlangan pendidikan negara

Sebahagian graduan IPG yang berjaya menamatkan pengajian mereka pada Istiadat Konvokesyen IPG KPM Kali ke-13 di PICC, Putrajaya pada Ahad.

PUTRAJAYA - Graduan Institut Pendidikan Guru (IPG), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diingatkan supaya meneruskan kecemerlangan masing-masing dan sentiasa berusaha mengangkat martabat pendidikan di negara ini.

Iklan
Iklan

Demikian ditegaskan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek selain menekankan profesion perguruan merupakan satu amanah yang besar sekali gus mempengaruhi kualiti dan masa depan modal insan pada masa depan.

Malah, beliau turut memperakui sumbangan besar IPG dalam arena pendidikan negara yang mana institut itu merupakan platform yang telah banyak memainkan peranan dalam menghasilkan produk perguruan sejak ia dijenamakan semula daripada Maktab Perguruan pada tahun 2005.

Iklan

"Bagi para graduan, istiadat konvokesyen bukanlah sekadar penganugerahan ijazah. Sebaliknya, apa lebih penting inspirasi kepada para graduan yang akan membawa ‘obor’ kecemerlangan pendidikan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Istiadat Konvokesyen IPG KPM Kali ke-11 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini pada Ahad.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Hussin; Timbalan Rektor Pusat Latihan (menjalankan tugas Rektor), Dr Yazid Abdul Manap dan Timbalan Rektor Pusat Peperiksaan dan Penganugerahan IPG, Dr Ismail Mohamed.

Fadhlina menyampaikan Anugerah Emas kepada Khairul Shuib sempena Istiadat Konvokesyen IPG KPM Kali ke-13.

Istiadat konvokesyen itu menyaksikan seramai 5,725 graduan guru menamatkan latihan perguruan masing-masing di 27 kampus IPG di seluruh negara.

IPG aset negara

Dalam pada itu, Fadhlina selepas majlis istiadat tersebut memaklumkan KPM akan terus mempertahankan IPG sebagai aset penting dalam melahirkan guru yang berperanan sebagai tonggak dalam memperkasakan bidang pendidikan.

Katanya, institusi itu adalah yang terbaik dalam negara ini menerusi kejayaannya melahirkan para guru yang berkualiti kualiti, berkompentensi sekali gus melengkapkan dengan cabaran pendidikan masa depan.

"Profesion perguruan ini mempunyai kod etikanya tersendiri demi menjaga imej, maruah, status, akhlak dan keperibadian seperti yang termaktub dalam ikrar guru serta Standard Guru Malaysia 2.0,” jelasnya.

Mengulas mengenai cabaran pendidikan masa depan, Fadhlina mahu semua graduan guru IPG memberi perhatian terhadap pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang akan berakhir pada 2025 dan akan digantikan dengan Kurikulum Persekolahan 2027.

"Oleh itu, Jerayawara Jelajah Pendidikan akan dilaksanakan ke seluruh negara mulai tahun hadapan bagi mendapatkan pandangan mengenai pelan pembangunan pendidikan untuk pelaksanaan kurikulum baharu yang akan meliputi elemen fleksibiliti, pendidikan karakter dan pendigitalan,” ujarnya.

Graduan guru IPG dijamin penempatan di sekolah seluruh negara

SHAFRUDDIN


PUTRAJAYA - Graduan guru Institut Pendidikan Guru (IPG) dijamin penempatan di sekolah seluruh negara selepas berjaya menamatkan pengajian selama lima tahun di institusi berkenaan.

Jaminan itu dinyatakan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Hussin berdasarkan kepada kelayakan mereka yang telah didedahkan dengan pelbagai aspek termasuk kompetensi dan kualiti sebagai pendidik.

"Graduan guru IPG tidak mempunyai sebarang masalah dari segi pencapaian kerana mereka telah melepasi tapisan. Selama tempoh lima tahun pengajian di IPG, mereka didedahkan dengan kaedah-kaedah pengajaran bukan sahaja terkini, malah yang ada dari dulu sehingga menggunakan teknologi digital dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Konvokesyen IPG KPM Kali ke-13 yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Putrajaya pada Ahad.

Tambah Shafruddin, sebagai bakal guru, graduan IPG itu juga ditempatkan untuk melakukan latihan praktikum iaitu belajar secara simulasi yang akan dipantau oleh pensyarah.

Jelas beliau, pensyarah akan membimbing mereka sepanjang latihan tersebut bagi menyesuaikan diri sebelum penempatan di sekolah-sekolah.

Tiga graduan guru IPG terima anugerah kecemerlangan

Khairul Shuib (tengah), Muhammad Asyraf (kanan) dan Anis Atierah menunjukkan trofi serta replika cek yang diterima masing-masing sempena Istiadat Konvokesyen IPG KPM Kali ke-13.


PUTRAJAYA - Kesungguhan memikul segala tanggungjawab serta sentiasa mencari peluang memajukan diri akhirnya membuahkan hasil buat Khairul Shuib Khairul Azizi, 23, setelah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Emas sempena Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Kali ke-13 di Putrajaya pada Ahad.

Ketika ditemui Sinar Harian, dia menyifatkan usahanya itu didorong oleh sokongan para pensyarah yang sentiasa memberikan galakan untuk aktif dalam pelbagai program sepanjang pengajiannya di IPG meskipun dalam kesibukan masa dengan tugasan serta kuliah.

"Saya berpegang pada prinsip iaitu hidup biarlah berbakti, mati pastikan bererti,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi graduan guru, Muhammad Asyraf Sa’adon, 23, yang berjaya menerima Anugerah Kepimpinan memberitahu, dia sentiasa mencabar dirinya untuk memimpin selain memastikan setiap amanah serta kepercayaan yang diberikan rakan-rakan serta para pensyarah dilaksanakan sebaik-baiknya.

"Ini cabaran buat saya kerana masa untuk diri sendiri dan rakan-rakan terhad disebabkan kesibukan dengan program, persediaan dan mesyuarat. Namun, ia bukan penghalang buat saya, kalau tidak pandai uruskan masa dengan baik, akademik akan terganggu,” jelasnya.

Bagi penerima Anugerah Kokurikulum, Anies Atierah Mohamad Noor, 23, dia tidak menyangka akan memenangi anugerah tersebut kerana ia dilakukan hanya kerana minat.

"Pencapaian terbesar saya adalah dapat mengekalkan dua edisi berturut-turut pingat emas Kejohanan Gerakerja Olahraga (KAGUM) bagi IPG di seluruh negara pada 2018 dan 2022,” ujarnya.

Ketiga-tiga mereka menerima trofi dan sijil serta hadiah wang tunai bernilai RM1,500 bagi Anugerah Emas manakala penerima Anugerah Kokurikulum dan Kepimpinan, masing-masing mendapat RM1,000 sumbangan daripada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP).