JERMAN - Seorang remaja lelaki, Marvin K yang hilang sejak dua tahun lalu ditemui dikurung dalam sebuah almari di sebuah flat dalam satu serbuan di Recklinghausen semalam.
Pihak polis berkata, ketika serbuan remaja berusia 15 tahun itu berada di dalam sebuah almari di kediaman tersebut dengan memakai pakaian yang sama ketika dia hilang sejak 2017 dan dipercayai menjadi mangsa pedofilia.
"Bagaimanapun tiada tanda-tanda yang menunjukkan Marvin telah dikurung secara paksa.
"Polis telah menahan seorang penganggur yang dikenali sebagai Lars H berusia 44 tahun kerana disyaki berkongsi gambar penderaan kanak-kanak," katanya.
Jiran-jiran di bandar yang terletak kira-kira 60 batu di utara Cologne itu berkata, mereka tidak pernah melihat remaja tersebut tetapi sering mendengar jeritan seorang lelaki datang dari flat berkenaan.
Sementara itu ibunya, Manuela, 53, berkata, ketika bertemu anaknya, Marvin memegang dengan erat dan berada dalam ketakutan.
"Dia berkata 'ibu bawa saya pulang ke rumah, saya terkurung selama dua setengah tahun dan saya tidak dapat menghirup udara segar'. Kami berdua menangis dan dia menggenggam erat tangan saya.
"Sebelum ini saya tidak tahu sama ada dia masih hidup atau sebaliknya kerana dia tidak dapat menghubungi saya. Saya dapat bayangkan bagaimana perasaannya apabila dapat kembali semula bersama keluarga," katanya.
Difahamkan ketika kejadian Marvin berusia 13 tahun dan masih dalam jagaan rumah kebajikan pihak berkuasa tempatan selepas kematian bapanya. - Agensi