KUANTAN - Cadangan membina tol di Gohtong Jaya untuk ke Genting Highlands bakal menambah lagi tekanan dan bebanan terhadap kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat terutama selepas Covid-19.
Pemangku Ketua UMNO Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berpendapat tindakan itu adalah tidak wajar sama sekali dan tidak boleh dibenarkan ia dilaksanakan walaupun laluan tersebut di atas tanah persendirian.
Menurutnya, pihak berkenaan juga tidak tidak sewajarnya membina plaza tol berkenaan sebaliknya perlu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Kementerian Kerja Raya.
"Jadi, saya berterima kasih kepada Majlis Perbandaran Bentong kerana mengeluarkan perintah berhenti kerja (stop work order) bagi projek tol ini.
"Diharap pihak berkuasa dan kerajaan membuat keputusan terbaik supaya rakyat khususnya golongan marhaen dapat terus mengunjungi Genting Highlands untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga tanpa perlu membayar tol," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kemudahan jalan raja adalah tanggungjawab utama yang perlu disediakan oleh pihak terbabit kepada orang ramai ataupun pelanggan untuk ke Genting Highlands.
Tambahnya, sekian lama pihak berkenaan mengaut keuntungan sejak Genting Highlands dibuka selama lebih 50 tahun, justeru seharusnya perlu ada tanggungjawab sosial korporat (CSR) berterusan bukan sahaja di Genting Highlands tetapi jalan utama ke situ dari arah Genting Sempah dan Batang Kali.
"Pada Mei 2023, seperti mana dilaporkan, Genting Berhad mencatat keuntungan dengan laba RM98.04 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 berbanding dengan kerugian bersih RM199.68 pada suku sama tahun 2022, disumbangkan terutama oleh pendapatan bahagian liburan dan hospitaliti susulan pelonggaran sekatan Covid-19.
"Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Genting dilaporkan berkata pendapatan meningkat kepada RM5.82 bilion daripada RM4.21 bilion sebelumnya, terutamanya daripada bahagian liburan dan hospitaliti," katanya.
Mohamad Zaini menjelaskan dengan keuntungan yang kembali dicatat, adalah wajar pihak Genting meneruskan CSR syarikat itu kepada rakyat terutama dalam aspek penyediaan kemudahan jalan raya yang baik dan sempurna.
"Sepatutnya, jalan raya utama ke Genting Highlands perlu sentiasa diselenggara dengan baik demi keselesaan dan juga keselamatan orang ramai berkunjung ke situ bukan menambah beban rakyat dengan membuat kutipan tol.
"Saya secara peribadinya tidak bersetuju dan berharap agar isu ini diselesaikan dengan baik dan tanpa merugikan mana-mana pihak," katanya.
Baru-baru ini, tular gambar pemasangan sebuah struktur di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, sekali gus mendapat perhatian warganet yang membuat spekulasi berkemungkinan plaza tol bakal dibangunkan di situ.
Memetik laporan Sin Chew Daily, jurucakap Lingkaran Cekap Sdn Bhd mengesahkan pelaksanaan tol itu.
Syarikat tersebut akan mengendalikan tol, namun pemandu hanya dikenakan bayaran semasa ke Genting Highlands dan bukan ketika menuruni kawasan tanah tinggi itu.