Pengurus syarikat katering didenda RM87,200

Iklan
Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang pengurus syarikat katering didenda RM87,200 selepas mengaku salah dalam Mahkamah Sesyen Kuantan pada Rabu atas dua pertuduhan pilihan menipu tuntutan insentif Program Penjana Kerjaya 1.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM43,600 pada Oktober 2020.

Hukuman terhadap tertuduh itu diputuskan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Iklan
Iklan

Berdasarkan kertas pertuduhan pilihan pertama dan kedua, tertuduh, Mohmmed Ismail R P Mohamed Ibrahim, 62, bersama seorang lagi didakwa memperdaya Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso apabila mengemukakan senarai nama 27 individu yang didakwa sebagai pekerja syarikatnya, Is Catering Sdn Bhd.

Tindakan tertuduh itu hanya bagi mendapatkan insentif pengambilan pekerja yang disediakan melalui program itu sedangkan nama-nama yang dikemukakan bukan pekerjanya.

Iklan

Tertuduh didakwa memperdaya hingga mendorong pihak Perkeso meluluskan bayaran insentif itu berjumlah RM27,200 dan RM16,400 kepada syarikatnya.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Perkeso Temerloh, Jalan Sudirman 3, Bandar Baru Seri Semantan, Temerloh pada 5 Oktober 2020.

Iklan

Bagi dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Ekoran pengakuan bersalah tertuduh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh dengan denda RM54,400 bagi tuduhan pertama dan RM32,800 untuk tuduhan kedua.

Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala tertuduh diwakili peguam, R Maran.

Tertuduh sebelum ini dihadapkan ke mahkamah itu pada 26 Januari lalu atas tuduhan membuat tuntutan palsu inisiatif sama di bawah Seksyen 24(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika itu sebelum dibebaskan dengan jaminan RM20,000.

Tertuduh pada Rabu memilih untuk mengaku bersalah dan diberikan pertuduhan pilihan bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan.