18 jalan raya di Melaka dinaik taraf dengan kos lebih RM3 juta

Iklan
Hameed - Foto Bernama

MELAKA - Sebanyak 18 jalan di kawasan luar bandar di tiga daerah di Melaka sedang dinaik taraf secara berperingkat melibatkan peruntukan lebih RM3 juta, kata Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Beliau berkata, kerja-kerja menaik taraf itu melibatkan lapan jalan di daerah Alor Gajah, Melaka Tengah (enam jalan) dan Jasin (empat jalan), dengan objektif utamanya adalah untuk memberi keselesaan kepada pengguna dan mengurangkan risiko kemalangan melibatkan jalan yang rosak atau berlubang.

Iklan
Iklan

"Kita telah menerima sebahagian peruntukan daripada kerajaan pusat bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf jalan di Melaka khususnya di kawasan luar bandar.

"Usaha ini dilaksanakan bagi memastikan infrastruktur di negeri ini terutama jalan raya yang menjadi akses penting rakyat sentiasa berada dalam keadaan baik," katanya kepada pemberita selepas Program 'Walkabout' Sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) di kawasan tumpuan pelancong di sekitar Jonker Walk dan Banda Hilir di sini pada Rabu.

Iklan

Sementara itu, Hameed berkata, papan tanda penunjuk arah yang telah rosak, pudar atau tidak jelas akan diturunkan dan diganti dengan yang baharu sebelum TMM 2024.

Beliau berkata, langkah itu dilakukan bagi memudahkan pengguna jalan raya khususnya pelancong dari luar Melaka ke destinasi yang ingin dituju selain memastikan keindahan pemandangan, sekali gus memberi imej positif kepada pelancong.

Iklan

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Bahagian Promosi Pelancongan sedang mengenal pasti papan tanda penunjuk arah yang telah rosak atau tidak jelas bagi kerja-kerja penggantian, manakala papan tanda yang tidak lagi relevan akan diturunkan.

"Selain itu, Jabatan Kerja Raya juga sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia untuk kerja-kerja penandaan arah bagi memastikan kelancaran trafik menjelang TMM 2024," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap lima lagi 'Emergency Panic Button' (EPB) yang dicadangkan dipasang di kawasan tumpuan pelancong di negeri ini dapat dilakukan menjelang TMM 2024.

Katanya, setakat ini, hanya tiga EPB telah dipasang, antaranya dalam kawasan Jonker Walk sebagai alternatif kepada pelancong mendapatkan bantuan kecemasan sekiranya berdepan dengan kejadian jenayah, sekali gus mewujudkan persekitaran selamat kepada pelancong. - Bernama