Pendakwaan bantah permohonan Muhyiddin dapatkan semula pasport

Iklan
Muhyiddin

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan akan mengemukakan bantahan terhadap permohonan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan semula pasportnya bagi membolehkan beliau bercuti bersama ahli keluarganya dan menjalani pemeriksaan jantung di luar negara.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Asma Ahmad memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah menerima notis permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan pasport pada 17 Oktober lepas dan memerlukan masa untuk memfailkan afidavit jawapan berhubung permohonan itu.

Iklan
Iklan

"Pihak kami akan membantah pada permohonan ini. Oleh itu, kami mohon satu tarikh dalam tempoh dua minggu untuk memfailkan afidavit jawapan," katanya ketika sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi pada Rabu.

Muhyiddin, 76, selaku pemohon tidak hadir ke mahkamah pada Rabu kerana kehadirannya dikecualikan oleh mahkamah.

Iklan

Peguam Datuk K. Kumaraendran, yang mewakili Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, pihaknya memerlukan masa untuk memfailkan afidavit balasan dan memohon supaya tarikh pendengaran bagi permohonan pelepasan pasport itu ditetapkan pada 23 November ini.

Azura kemudian menetapkan 23 November untuk mendengar permohonan itu selain memerintahkan pihak pendakwaan memfailkan afidavit jawapan pada atau sebelum 8 November manakala afidavit balasan pemohon difailkan sebelum 17 November.

Iklan

"Mahkamah turut menetapkan 21 November bagi pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan penghujahan bertulis secara serentak sebelum tarikh pendengaran itu," katanya.

Pada 16 Oktober lepas, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, memfailkan notis permohonan agar mahkamah mengubah jaminan bon yang dikenakan terhadap pemohon dengan pasport antarabangsa beliau dilepaskan tanpa syarat.

Menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama notis permohonan, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata beliau telah membuat perancangan bercuti bersama keluarganya di luar negara dan percutian itu penting untuk beliau meluangkan masa bersama keluarga memandangkan tahun ini merupakan tahun yang sangat tertekan bagi diri dan keluarganya.

"Adalah suatu kebiasaan saya akan membawa keluarga untuk bercuti selama sebulan pada setiap tahun. Perancangan untuk bercuti pada tahun ini adalah tidak terkecuali kerana saya ingin membawa keluarga saya ke London, United Kingdom pada akhir tahun untuk bercuti.

"Saya difahamkan daripada ejen pelancongan saya bahawa adalah sukar untuk mendapatkan tiket penerbangan serta mengaturkan perjalanan percutian untuk jumlah orang yang ramai secara sekali gus ke London terutamanya berdekatan dengan musim perayaan Krismas pada akhir tahun dan Tahun Baharu pada awal 2024," katanya menerusi afidavit sokongan itu.

Menurut Muhyiddin, beliau telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk menempah tiket penerbangan bagi dirinya dan isteri terlebih dahulu sebelum ahli keluarga yang lain.

"Berdasarkan rujukan tempahan penerbangan oleh agensi pelancongan, saya akan mengambil penerbangan Emirates dari Kuala Lumpur ke Dubai pada 15 Dis 2023 dan akan singgah di Dubai hingga 21 Dis 2023.

"Kemudian akan bertolak ke London pada hari yang sama dan seterusnya, saya akan berada di London pada 21 Disember 2023 hingga 10 Januari 2024 dan pulang dari London ke Kuala Lumpur melalui satu penerbangan transit dari Dubai pada 11 Jan 2024," katanya.

Selain itu, Muhyiddin juga berhasrat untuk menjalani pemeriksaan jantung melalui ujian stres jantung atas treadmill di Hospital Mount Elizabeth di Singapura, yang memerlukan beliau berjalan atau berlari atas mesin berkenaan.

"Sebelum ini, saya telah menjalani ujian stres jantung tanpa treadmill ini di Mayo Clinic yang terletak di Amerika Syarikat pada beberapa tahun lepas. Saya dinasihatkan oleh doktor bahawa Hospital Mount Elizabeth di Singapura mempunyai rawatan atau peralatan diagnostik seperti mana yang saya lakukan di Mayo Clinic. Oleh itu, saya berniat untuk ke Singapura bagi menjalankan pemeriksaan kesihatan saya," katanya dan menambah beliau tidak pernah gagal untuk hadir ke mahkamah dalam mana-mana sebutan kes.

Pada 2 Oktober lepas, Muhyiddin memfailkan permohonan supaya beliau dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Muhyiddin berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Muhyiddin juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas terhadap satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Pada 15 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan kesemua pertuduhan itu.

Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan pada hari sama terhadap keputusan itu dan pendengaran rayuan ditetapkan pada 28 dan 29 Februari 2024. - Bernama