APABILA melihat barang infak hasil sumbangan orang yang diterima rosak, perasaan kecewa datang menerpa. Rasa terkilan begitu sukar dilenyapkan.
Bukan apa, walaupun bukan kita yang mengeluarkan wang atau harta untuk bersedekah, tetapi penerimanya sudah pasti rasa tersinggung apabila melihat barang yang diterimanya langsung tidak boleh dimanfaatkan.
Sebab itulah kita selalu mendengar orang di sekeliling berpesan supaya memberikan barang yang paling kita sayang untuk diinfakkan.
Rupanya memang ada kebenarannya. Sinar Islam ada sebab tersendiri mengapa membuat pernyataan sebegitu.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, sunat berinfak dengan sesuatu yang baik dan disukai sebagaimana dinyatakan oleh Asy-Syirbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj.
"Ini kerana, menurut Asy-Syirbini, perkara itu dapat menambahkan ganjaran pahala dan melembutkan hati,” katanya dipetik menerusi artikel Irsyad Al-Fatwa Siri ke-806: Hukum Memberi Infak Barangan Yang Tidak Elok.
Bahkan, ALLAH SWT berfirman: "Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya ALLAH mengetahuinya.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 92)
"Maksudnya, amalan itu tidak diganjari dengan sebarang pahala,” katanya.
Perkara itu disebutkan jelas dalam firman ALLAH SWT: "Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan ALLAH) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang KAMI keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya ALLAH MAHA KAYA, lagi sentiasa Terpuji.” (Surah al-Baqarah, ayat 267)
Melihat nas tersebut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, Dr Wahbah Al-Zuhaili menyatakan bahawa ayat itu merupakan suruhan agar berinfak dengan harta atau sesuatu yang baik.
"Tidak kiralah sama ada ia berbentuk wang tunai, binatang ternakan, hasil tanaman, barangan perniagaan dan sebagainya.
"Bahkan, ALLAH SWT juga melarang daripada berinfak dengan sesuatu yang sudah rosak, kotor ataupun keji,” katanya.
Tambah menguatkan lagi hal itu apabila Rasulullah SAW bersabda:"Wahai sekalian manusia, sesungguhnya ALLAH itu MAHA BAIK, DIA tidak akan menerima kecuali yang baik-baik sahaja.” (Hadis Riwayat Muslim)
"Haram hukumnya kerana ia merupakan suatu bentuk kezaliman dan penganiayaan ke atas orang lain,” tegasnya.