JAKARTA - Pasangan ketiga dan terakhir yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 telah mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) pada Rabu.
Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto dan Datuk Bandar Surakarta, Gibran Rakabuming Raka secara rasmi mendaftarkan diri untuk menjadi calon Presiden dan Naib Presiden tahun depan yang menyaksikan perlumbaan tiga penjuru.
Gibran merupakan anak sulung Presiden Joko Widodo atau Jokowi dan kedua-duanya hadir di ibu pejabat KPU dengan berpakaian sedondon.
Prabowo, 71, bakal dicabar bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswaden dan bekas Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo.
"Kami mohon restu daripada seluruh rakyat Indonesia. Kami kini berdepan satu titik yang sangat penting dalam sejarah Indonesia
"Kita berada pada titik di mana kita boleh bangkit dan menjadi Indonesia yang hebat dan Indonesia di mana sumber alam digunakan secara optimum untuk semua," kata Prabowo yang bertanding jawatan presiden buat kali ketiga selepas kalah tipis pada 2014 dan 2019 kepada Jokowi.
Pemilihan Gibran sebagai gandingan Prabowo bagaimanapun mencetuskan kritikan bahawa Jokowi cuba mewujudkan dinasti politik di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu.
Jokowi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.
Demokrasi ketiga terbesar di dunia itu akan mengadakan pilihan raya Presiden dan perundangan pada 14 Februari dengan hampir 205 juta pengundi yang layak, kira-kira satu pertiga daripadanya berumur di bawah 30 tahun.
Pemenang Pilpres akan menggantikan Jokowi selepas beliau menamatkan tempoh maksimum dua penggal memerintah Indonesia. - AFP