KOTA BHARU - Lebih 1,000 pengunjung memanfaatkan peluang membeli barangan keperluan makanan yang dijual dengan harga jauh lebih murah di Karnival Jualan Agromadani Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Tunjong di sini pada Rabu.
Barangan antaranya beras, ayam, daging dan telur berbeza sekitar RM2 sehingga RM8 lebih rendah daripada kebiasaan.
Seorang pesara, Wan Rohaziah Wan Taib, 69, berkata, dia sanggup berulang-alik dua kali datang ke karnival itu bagi membeli barangan keperluan dapur dan membuat stok selama sebulan.
Katanya, sudah sekian lama tidak menyimpan bekalan makanan kerana terkesan dengan kos sara hidup akibat harga barangan naik.
"Biasanya ikan kembung dijual RM18 sekilogram, tetapi di karnival ini hanya RM10 sekilogram, beras 10 kilogram RM22, daging sekilogram RM27, ayam RM7 sekilogram dan telur gred C sepapan hanya RM11 berbanding RM12, memang banyak perbezaan daripada tempat lain.
"Awal tadi saya dah datang, balik ambil cucu sekolah, datang lagi tambah pembelian barangan makanan untuk bekalan lapan isi rumah selama sebulan kerana jarang-jarang dapat harga murah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di karnival yang berlangsung selama dua hari pada Rabu dan Khamis itu.
Karnival dirasmikan oleh Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
Dalam pada itu, suri rumah, Siti Munirah Ali, 41, pula berkata, dia membawa kakak dan ibu saudara datang untuk membeli-belah lebih banyak barangan keperluan di karnival itu.
Menurutnya, harga barangan mahal ketika ini menyebabkan dia berjimat-cermat dan berharap kerajaan memperbanyakkan lagi jualan murah seperti itu bagi meringankan bebanan rakyat.
"Sekarang, nak membeli pun ikut keperluan sahaja, dah tak boleh terlalu boros kerana semuanya perlukan duit dan mahal.
"Apabila ada jualan murah seperti ini, dapatlah membeli lebih sedikit untuk makan anak-anak,” katanya.
Sementara itu, Pengarah LPP negeri Kelantan, Hanifa Awang Su berkata, selain memudahkan pengguna mendapatkan bekalan makanan segar pada kadar harga yang munasabah dan berpatutan, karnival itu juga bertujuan meningkatkan pendapatan petani dengan memasarkan produk mereka secara terus kepada pelanggan.
Ujar beliau, pihaknya juga dalam usaha membantu usahawan untuk meluaskan pemasaran produk-produk mereka ke pasar raya di sekitar Kelantan.
"Setakat ini, LPP berjaya membantu beberapa usahawan untuk memasarkan produk mereka di pasar raya di Lembah Sireh dan selepas ini mungkin di sekitar Tunjong.
"Selainnya, LPP juga berusaha untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam memastikan pertanian di Kelantan dapat dirancakkan lagi dan ditambah baik bagi memastikan keterjaminan bekalan makanan negara,” kata beliau.