KDA FC perlu beri tumpuan penuh baki perlawanan Liga Super

Iklan
Ifedayo Olusegun (dua dari kiri). - FOTO KDA FC

PENYERANG utama Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ifedayo Olusegun mahu semua pemain kelab tersebut memberi tumpuan penuh pada baki empat perlawanan Liga Super 2023 dalam usaha untuk merampas tempat kedua daripada Selangor FC.

Menurutnya, aksi menentang Negeri Sembilan (NS) FC di Stadum Darul Aman pada Sabtu ini disifatkannya sebagai sangat penting dan Sang Kenari tidak boleh keciciran mata pada perlawanan tersebut.

Iklan
Iklan

"Mata penuh adalah sasaran kami dalam semua perlawanan yang akan dilalui selepas ini, sekali gus membuka ruang untuk aksi ke peringkat Asia pada musim depan," katanya mengulas aksi Liga Super pada Sabtu.

KDA FC kini berada di kedudukan ketiga liga dengan mengumpul 47 mata menerusi 15 kemenangan, dua seri dan lima kekalahan selepas 22 perlawanan.

Iklan

Jelas Ifedayo yang telahpun meledak tujuh gol dalam saingan Liga Super setakat ini, dia mengharapkan penyokong Sang Kenari akan memenuhi Darul Aman dalam usaha untuk memberikan tekanan kepada NS FC.

"Saya bertekad memberi aksi terbaik saya bersama rakan sepasukan seperti yang dirancang ketua jurulatih.

Iklan

"Kedah perlu ambil kesempatan beraksi di depan penyokong sendiri walaupun beraksi pada sebelah petang. Kami perlu berwaspada supaya tidak melakukan kesilapan yang boleh merugikan pasukan," ujar beliau.

Lawan seterusnya yang bakal dihadapi oleh KDA FC selepas melayani skuad Hobin Jang Hobin adalah Kelantan FC pada 24 November, Selangor FC (2 Disember) dan Sabah FC (17 Disember).