CelcomDigi perkasa 5G pacu pembangunan peniagaan negara

Iklan
Kesedaran 5G boleh direalisasikan dengan melaksanakan teknologi berkaitan 5G dalam kalangan pihak-pihak berkaitan untuk meneraju kadar penerimagunaan. - Foto Bernama

SYARIKAT telekomunikasi CelcomDigi mengadakan Persidangan dan Pameran MY5G 2023 dalam usaha mempercepatkan penggunaan rangkaian 5G bagi memacu pembangunan perniagaan di Malaysia terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Idham Nawawi berkata, ia sejajar dengan usaha kerajaan dalam membangunkan ekosistem digital kepada standard tertinggi antarabangsa termasuk penerimaan rangkaian 5G yang berkesan untuk negara.

Iklan
Iklan

"Dengan 5G, kami memasuki era baharu ketersambungan dan kemungkinan perniagaan untuk membangunkan ekosistem digital paling inovatif bukan sahaja dengan mencipta sinergi baharu antara industri yang berbeza, tetapi melaksanakan penyelesaian lebih inovatif.

"Kecekapan dan pertumbuhan membolehkan perniagaan Malaysia bersaing hingga berjaya memacu ekonomi digital hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Menurut Idham, pihaknya telah bekerjasama dengan pelanggan perusahaan besar bagi melancarkan penyelesaian dan perkhidmatan 5G dalam memanfaatkan setiap sektor ekonomi dengan mengubah operasi serta cara kerja secara asas.

Ujar beliau, persidangan itu dihadiri lebih 400 pemimpin termasuk pembuat keputusan daripada 220 syarikat merentasi 30 industri untuk membincangkan dan berkongsi pengetahuan serta kerjasama dalam penerimaan termasuk keupayaan rangkaian 5G berfungsi di Malaysia.

Iklan

Jelasnya, ia diadakan dengan kerjasama pemain industri terkemuka seperti Amazon Web Services, Ericsson, Huawei, Microsoft, SK Telecom, ZTE, Bridgenet, Infront, Active Telematics, Cradlepoint, Garuda Robotics, Infinium Robotics, Medilink Global, MyTraffic, Sole Vision, Weston Robot, XR Associates dan Yinson.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, perniagaan digital akan memberi manfaat kepada negara dalam meneroka teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IoT) untuk pertumbuhan ekonomi.

"Kami telah melihat banyak negara lain melaksanakan teknologi dan penyelesaian 5G merentas industri dan membuahkan hasil yang positif.

"Kerajaan berhasrat untuk menerajui pembangunan ekosistem digital bagi memastikan negara berada pada tahap tertinggi piawaian antarabangsa dan meningkatkan ekonomi negara ke tahap yang lebih baik,” ujarnya.