GAZA CITY - Hospital di Gaza tidak lagi dapat berfungsi sepenuhnya selepas terputus bekalan air dan bahan api untuk menjana generator selepas Israel memutuskan bekalan tersebut di seluruh Genting Gaza, lapor The Guardian.
Petugas, pentadbir kesihatan dan organisasi antarabangsa menggambarkan situasi ini sebagai 'malapetaka dahsyat' di mana doktor terpaksa melakukan pembedahan dengan menggunakan sedikit ubat bius atau menggunakan lampu telefon bimbit serta cuka bagi menggantikan antiseptik.
Difahamkan, hospital di Gaza bukan sahaja dibanjiri ribuan pesakit, malah dipenuhi puluhan ribu penduduk yang mencari perlindungan di situ sehinggakan doktor sukar merawat pesakit yang cedera.
Sementara itu, lebih 20 hospital di tengah dan Gaza utara telah diberitahu tentera Israel untuk berpindah, arahan dianggap mustahil oleh doktor untuk dilaksanakan.
"Kami tidak mempunyai bahan api untuk menghidupkan generator dan paling terjejas teruk di bilik gerakan, unit rawatan rapi dan bilik kecemasan.
"Kami mempunyai jumlah korban yang ramai. Masalah lain adalah kakitangan sudah kepenatan dan tiada bekalan ubat-ubatan secukupnya selain makan sehari sekali," kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Dr Mehkat Abbass.
Ketika ini, kuantiti bekalan ubat telah dibenarkan merentasi sempadan Mesir-Gaza, namun Israel enggan membenarkan ia diagihkan di bahagian utara di mana banyak hospital terdapat di sana.
Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan adalah mustahil mengagihkan bahan api atau bekalan ubat-ubatan ke Gaza kerana tiada jaminan keselamatan.
Selepas serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober lalu, tiada bahan api dibenarkan memasuki Gaza. - Agensi