SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia tetap konsisten menyokong pembebasan rakyat Palestin yang kini sedang berdepan dengan kekejaman rejim Zionis sehingga mengorbankan ribuan nyawa terutama kanak-kanak.
Ketua Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, ia sejajar dengan konteks Dasar Luar Malaysia untuk terus bersuara dalam isu kemanusiaan.
Menurutnya, susulan pendirian tersebut terdapat beberapa negara mula cakna berkenaan isu krisis kemanusiaan di Gaza sehingga hampir semua penduduk dunia mengutuk serangan yang dilakukan oleh tentera Israel.
"Jika kita lihat secara dasar Malaysia antara negara yang meletakkan perjuangan tegar terhadap pembebasan rakyat Palestin dan didapati beberapa negara turut melakukan tindakan sama dengan menentang serangan tentera Israel.
"Perkara ini telah disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa kita tidak mempunyai pilihan kerana isu Palestin-Israel berkaitan pembunuhan, penyeksaan, rampasan berterusan telah berlaku sejak sekian lama tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa ada suara bantahan.
Turut hadir Penasihat Kehormat MyCare, Dr Hafidzi Mohd Noor dan Ketua Portfolio Hubungan Luar Negara Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Mengulas lanjut, menurut Syed Ibrahim, dalam konteks keselamatan tidak dinafikan Malaysia menjadi perhatian pelbagai pihak terutama perisik yang menyamar sebagai individu dalam organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berupaya mengganggu keamanan negara.
Ujarnya, terdapat juga kemungkinan Malaysia bakal berdepan ancaman ekonomi susulan pendirian kerajaan yang menolak serangan ke atas Gaza.
"Malaysia amat terbuka soal ekonomi tetapi perlu rundingan tegas berkenaan isu kemanusiaan dan bukan sekadar seronok melakukan hubungan diplomatik atau perdagangan semata-mata sehingga sanggup membuang prinsip yang menjadi pegangan kerajaan.
"Walaupun negara ini kecil tetapi kita mampu memainkan peranan dengan mendesak dan memastikan negara-negara seperti Arab Saudi, Bahrain mengambil sikap yang sama seperti Malaysia,” jelasnya.