JOHOR Darul Ta'zim (JDT) mendapat pengajaran berguna selepas tewas 1-3 kepada kepada Ulsan Hyundai dalam aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023 di Stadium Bolasepak Munsu pada Selasa.
Pengendali JDT, Esteban Solari berkata, barisan pemainnya bagaikan hilang punca selepas dibolosi tiga gol awal dalam tempoh 20 minit pertama perlawanan.
"Satu perlawanan yang sukar. Dalam tempoh 20 minit separuh masa pertama, kami dihukum gol pertama hasil set piece yang menjejaskan konsentrasi.
"Ia kemudiannya disusuli dua lagi gol dijaringkan ketika penjaga gol kami (Ahmad Syihan Hazmi) tidak menyentuh bola sebaik aksi bermula.
"Saya katakan kepada pemain, kami tidak memulakan perlawanan dengan baik dan dibolosi tiga gol. Ia satu kekalahan yang memberi pengajaran bermakna buat kami,” katanya.
Bagaimanapun, Solari berkata, JDT mampu mengimbangi corak permainan Ulsan Hyundai pada separuh masa kedua sehingga memperoleh gol menerusi jaringan Bergson da Silva pada minit ke-53.
"Kami mula mencipta peluang pada babak kedua. Kami dapat jaringkan gol pada minit ke-53 tetapi tidak dapat menambah jaringan dan perlu akur dengan keputusan kami tewas.
"Kami perlu belajar dalam semua perkara menerusi perlawanan hari ini (Selasa). Malah, ia memberi pengajaran untuk kami bangkit pada perlawanan akan datang,” jelasnya
Sebelum jaringan Bergson terhasil, Ulsan Hyundai tampil garang sebaik wisel permulaan dibunyikan apabila memperoleh gol menerusi Jung Seung Hyun seawal minit kelima dan dua gol Gustav Ludwigson minit ke-12 dan 18.
JDT kini di tangga ketiga Kumpulan I (tiga mata), manakala Kawasaki Frontale unggul di puncak dengan sembilan mata diikuti Ulsan Hyundai kedua (enam mata).