IPOH - Mangsa banjir di Perak meningkat setakat jam 10 malam ini dengan 277 orang daripada 88 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 245 orang daripada 77 keluarga, pagi Rabu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan di daerah Hilir Perak sebanyak 186 mangsa daripada 59 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak melibatkan penduduk Lorong Kedah, Lorong Belakang Klinik, Batu 9 Simpang Tiga, Batu 7, Batu 9, Batu 10 dan Lorong Sidang Osman.
Menurut sekretariat itu, 58 mangsa daripada 22 keluarga dari Kampung Kilang Kacang dan Kampung Batu 9 Changkat Jong ditempatkan di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap.
"PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak di Kerian pula menempatkan 33 mangsa daripada tujuh keluarga dari Kampung Matang Tengah," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, sekretariat tersebut memaklumkan paras air Sungai Bidor setakat ini masih berada pada tahap bahaya dengan ketinggian 3.97 meter (m) berbanding 4.11m, pagi Rabu.
Jabatan Kerja Raya Perak memaklumkan Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan di Selama ditutup kepada semua kenderaan akibat tanah runtuh sementara Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid dijadikan sebagai laluan alternatif. - Bernama