KOM terima tajaan Cahya Mata RM5 juta

Iklan
Shahidan (dua dari kiri) dan Mohd Zahidi (dua dari kanan) menyaksikan perjanjian penajaan antara KOM dan Cahya Mata di Petaling Jaya pada Rabu.

KHABAR gembira buat Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) apabila menerima tajaan berjumlah RM5 juta daripada syarikat konglomerat terkemuka, Cahya Mata Sarawak Berhad (Cahya Mata).

Jalinan kerjasama antara KOM dan Cahya Mata selama tiga tahun sehingga 2025 itu akan memfokuskan kepada pembangunan akar umbi dan kejurulatihan.

Iklan
Iklan

Malah, Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kerjasama itu secara tidak langsung akan membantu badan induk berkenaan melahirkan lebih ramai bakat baharu.

"Kerjasama antara KOM dan Cahya Mata ini memainkan peranan yang cukup penting dalam mencapai objektif dan matlamat yang telah kita tetapkan.

Iklan

"Sebab itulah tajaan daripada Cahya Mata ini akan memberi fokus kepada khusus untuk pembangunan dan jurulatih.

"Bila kita ada pelapis yang banyak dan baik, ia akan ada kesinambungan untuk meneruskan kejayaan dalam sukan olahraga," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perjanjian Penajaan antara KOM dan Cahya Mata di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Kumpulan Cahya Mata, Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin, barisan Naib Presiden KOM dan atlet olahraga negara.

Pada masa sama, Shahidan berkata, pihaknya akan terus berusaha mencari penaja dalam memajukan pembangunan sukan olahraga di Malaysia.

"Untuk yang lain (selain daripada pembangunan dan kejurulatihan), kita kena cari penaja atau sumber lain," jelasnya yang kembali menerajui KOM mulai Jun tahun lalu.

Antara manfaat lain yang akan diterima KOM menerusi perjanjian kerjasama antara kedua-dua pihak adalah sistem sokongan dari sudut sumber latihan serta peluang kerjaya untuk atlet negara.

Sementara itu, Mohd Zahidi berkata, pihaknya berbesar hati apabila dapat menjadi rakan strategik KOM dengan sumbangan tajaan berkenaan.

"Komitmen kami adalah untuk memastikan bakat atlet negara dapat dimanfaatkan dalam melonjakkan prestasi demi mencapai kejayaan di pentas antarabangsa.

"Saya juga dimaklumkan KOM sudah melakukan program untuk mengenal pasti (bakat) kanak-kanak kecil kerana kita perlu mendapatkan pelapis pada masa akan datang," ujarnya.