RUPA-rupanya keadaan langit hijau yang menggemparkan sesetengah penduduk di Sungai Besar, Sabak Bernam pada malam Selasa disebabkan oleh lampu bot cerut untuk mencandat sotong.
Bagi yang pernah melihat keadaan langit hijau seperti itu, mereka sudah tentu faham ia kerja nelayan yang memancarkan cahaya hijau ke dasar laut untuk menarik sotong berkumpul di kawasan pancaran.
Cahaya hijau itulah yang mungkin terbias di langit.
Golongan yang tidak pernah menyaksikan fenomena sedemikian pula akan membuat pelbagai telahan hingga ada yang mengatakan ia adalah petanda awal kehadiran ribut seperti yang berlaku di Dakota Selatan, Amerika Syarikat pada Julai tahun lalu.
Apabila membaca pelbagai komen netizen di media sosial, ada macam-macam pandangan mereka.
Ada yang melihat ia sebagai sesuatu yang serius, bahan jenaka dan ada juga yang tak tahu apa-apa tapi memandai seperti arif segala hal. Kata orang sekarang, palatau.
Merak Jalanan terkenang kisah 31 tahun dulu sewaktu heboh mengenai kemunculan 26 objek aneh di langit yang dikatakan dilihat sekumpulan pelajar sekolah agama di Klang, Selangor.
Pada waktu itu belum ada laman sosial, tetapi gambar 26 objek yang dikatakan dilihat oleh pelajar sekolah terbabit dicetak dan tersebar ke seluruh Malaysia.
Merak Jalanan yang ketika itu berada di darjah lima sebuah sekolah di Kedah, dapat melihat objek-objek yang didakwa gambaran yang akan berlaku pada masa hadapan.
Antara objek itu ialah kala jengking, manusia berwajah babi, wajah perempuan keranda, botol arak, mayat dibungkus, peta Malaysia terbalik dan macam-macam lagi.
Orang ramai diselubungi rasa gerun dan takut seolah-olah kiamat semakin hampir.
Ada yang mula insaf dan bertaubat sehinggakan surau yang dahulunya kosong mula dipenuhi jemaah.
Rupa-rupanya objek-objek tersebut hanya khayalan. Satu Malaysia kena tipu!