KEJAYAAN penembak negara, Johnathan Wong layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 mungkin boleh membantunya untuk disenaraikan dalam Program Road To Gold (RTG) menjelang temasya itu yang berbaki 274 hari lagi.
Atlet berusia 31 tahun itu menempah tiket ke Paris selepas menduduki tempat keempat acara 10 meter (m) air pistol individu lelaki pada Kejohanan Menembak Asia ke-15 di Changwon, Korea Selatan baru-baru ini.
"Itu saya tidak boleh komen, sebab mereka (Jawatankuasa RTG) ada menetapkan kelayakan atau kriteria yang diperlukan bagi seseorang atlet itu dimasukkan dalam program berkenaan.
"Saya cuma harapkan persiapan ke Paris dapat dirancang dengan baik supaya saya dapat pergi dengan prestasi terbaik,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Untuk rekod, antara kriteria bagi membolehkan seseorang atlet atau sesebuah pasukan itu berada dalam RTG termasuklah menghuni kelompok 10 terbaik dunia.
Dalam pada itu menurut sumber, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dijadual mempengerusikan mesyuarat RTG minggu depan.
Hannah ketika mengulas kejayaan skuad skuasy meraih tiga pingat emas, satu perak dan satu gangsa dalam Sukan Asia di Hangzhou lalu bertekad untuk membantu atlet yang layak ke Sukan Olimpik.
"Di peringkat KBS (Kementerian Belia dan Sukan) menerusi RTG, kita akan pastikan untuk memberi sokongan padu kepada atlet yang akan mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Paris dan Los Angeles kerana RTG adalah untuk dua kitaran Olimpik,” katanya.
Sukan Olimpik Paris 2024 dijadualkan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos tahun depan.
Skuad hoki lelaki negara muncul atlet berpasukan pertama disenaraikan dalam RTG selepas anak-anak buah Arul Selvaraj itu memenuhi kriteria berada dalam kelompok 10 terbaik dunia pada Jun lalu.
Sebelum itu, Jawatankuasa RTG menyenaraikan 15 atlet dalam program itu dengan 11 daripadanya terdiri daripada barisan pemain badminton negara.
Atlet yang tersenarai ialah perseorangan lelaki, Lee Zii Jia; dua gandingan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yii; beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan dua beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Goh Soon Huat-Shevon Lai.
Selain pemain badminton, antara atlet yang menyertai senarai berkenaan ialah jagoan berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta dua penerjun wanita, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.
"Jika dapat masuk program RTG memang bagus.
"Ini kerana saya berpeluang dapat pelbagai kemudahan yang akan membantu meningkatkan prestasi, apapun tunggu keputusan (Jawatankuasa RTG).
"Saya cuma sangat berharap boleh dapat sokongan yang mencukupi untuk persediaan ke Paris nanti,” ujar Johnathan yang pernah beraksi pada Sukan Olimpik Rio 2016 di Brazil.
Johnathan muncul atlet ketiga Malaysia layak secara merit ke Paris dan ia akan menjadi penampilan keduanya dalam temasya sukan terbesar dunia itu selepas penampilan pertama pada edisi 2016 di Brazil.
Penembak kelahiran Melaka itu menyertai senarai dua lagi atlet negara yang turut layak ke pentas Olimpik Paris 2024 iaitu penerjun lelaki, Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran, Nur Shazrin Latif.