Manchester City kekal rentak kemenangan

Iklan
Haaland - Foto Agensi

TIGA gol separuh masa kedua Erling Haaland dan Manuel Akanji memastikan penyandang juara Manchester City di landasan terbaik mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara selepas menewaskan Young Boys, 3-1 di Stadium Wankdorf, awal pagi Khamis.

Tambah menarik dua gol dijaringkan bekas penyerang kelab Bundesliga Jerman, Borussia Dortmund kelahiran Norway tersebut pada minit ke-67 dan 86 mengakhiri kemarau gol buat pertama kali dalam enam perlawanan Liga Juara-Juara.

Iklan
Iklan

Sebelum itu, Akanji meletakkan Manchester City kendalian Pep Guardiola di depan pada minit ke-48 sebelum Meschack Elia menyamakan kedudukan minit ke-52 untuk pasukan tuan rumah.

Kemenangan itu melebarkan rekod bersih skuad Guardiola dalam Kumpulan G dengan tiga kemenangan, biarpun sebelum perlawanan juara Liga Perdana Inggeris tersebut bimbang bermain di atas padang tiruan yang licin di Stadium Wankdorf berikutan hujan.

Iklan

"Kami kini hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk layak secara matematik kemudian dua lagi perlawanan untuk menamatkan kempen kumpulan dengan status juara kumpulan," kata Guardiola.

The Citizens boleh mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati apabila melayan Young Boys di Stadium Etihad pada 8 November depan.

Iklan

Mengenai kritikan terhadap prestasi kurang konsisten Haaland musim ini, Guardiola mengakui dia juga bimbang berkenaan perkara tersebut.

"Secara jujurnya saya terlalu bimbang apabila anda mahu dia menjaringkan empat gol setiap perlawanan.

"Saya minta maaf tetapi pemain ini akan menjaringkan gol sepanjang hidupnya, dengan setiap peluang diperolehnya merupakan ancaman yang luar biasa.

"Dia akan menjaringkan gol hingga hari terakhir dia bermain bola sepak," kata Guardiola.