DI sebalik kejayaan meraih pingat emas di Sukan Para Asia (APG) Hangzhou 2022, tersimpan kisah duka membabitkan jaguh lompat jauh para negara Datuk Abdul Latif Romly.
Atlet kelahiran Perlis itu bukan sahaja mengakui tidak berada pada prestasi sebenar susulan kecederaan paha, malah turut kehilangan kereta beberapa minggu sebelum berlepas ke bumi Hangzhou.
Menurut atlet berusia 26 tahun itu, beliau sangat terkilan kerana kereta jenis Kia Sportage yang diterimanya daripada Syarikat Naza Corporation itu merupakan tanda mata kejayaan manis ketika meraih pingat emas di temasya Sukan Paralimpik Rio 2016.
"Dua tiga minggu sebelum saya ke Hangzhou, kereta saya kena curi. Saya pula asyik fikirkan kereta yang hilang tapi isteri (Nurul Nabila Farhana Musaidi) banyak bagi semangat dan minta saya fokus kepada sukan dulu.
Kejayaan meraih emas tujuh tahun lepas turut menyaksikan beliau menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) sebanyak RM1 juta serta beberapa sumbangan daripada syarikat korporat.
Selain kereta Kia Sportage, Naza Corporation ketika itu turut memberikan sebuah suite kediaman di Equine Park, Seri Kembangan bernilai RM350,000.
Abdul Latif mempertahankan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut APG dalam acara lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) selepas melakukannya pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan dan 2018 di Jakarta-Palembang.
Dalam aksi di Stadium Pusat Sukan Huanglong pada Selasa, Abdul Latif melakukan lompatan terbaik dengan jarak 7.18 meter (m) dalam percubaan keempat mengatasi pencabar terdekat Hassan Nasser Dawshi dari Arab Saudi yang meraih perak. Gangsa dimenangi rakan senegara Zulkifly Abdullah.
Biarpun mendominasi saingan, Abdul Latif mengambil pendekatan berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan berulang pada pahanya, dengan keutamaan adalah Kejohanan Olahraga Para Dunia dan Sukan Paralimpik Paris 2024 tahun hadapan. - Bernama