BATU PAHAT - Pemandu lori yang terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal hingga mengorbankan seorang pelajar Tingkatan Lima di Kilometer 13.5 Jalan Batu Pahat–Kluang pada Rabu direman selama empat hari.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 33 tahun itu dikeluarkan Majistret Suhaila Shafiuddin yang membenarkan permohonan polis untuk siasatan kes tersebut di Mahkamah Majistret Batu Pahat, di sini pada Khamis.
Lelaki warga tempatan terbabit sebelum itu tiba di pekarangan mahkamah pada jam 8.30 pagi dengan diiringi polis.
Dia direman sehingga Ahad ini mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, hasil saringan awal air kencing pemandu lori itu didapati negatif.
Dalam kejadian pada jam 7.20 pagi, mangsa, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah lori yang membuat pusingan U.
Mangsa, Shahrunizam Mohd Shamsul, 17, yang dipercayai dalam perjalanan ke sekolah dari kediamannya di Parit Sulong cedera parah di kepala serta badan dan disahkan meninggal di lokasi kejadian sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.