Ringgit menyusut sedikit berbanding dolar AS

Iklan
Nilai ringgit menyusut sedikit dan dibuka rendah berbanding dolar AS pada Khamis. - Gambar hiasan

NILAI ringgit menyusut sedikit dan dibuka rendah berbanding dolar AS pada Khamis berikutan peningkatan hasil bon Amerika Syarikat (AS) selepas data ekonomi terkini negara itu menguatkan lagi jangkaan bahawa kadar faedah akan kekal lebih tinggi untuk tempoh yang lama.

Jualan rumah baharu di AS meningkat 12.3 peratus bulan ke bulan kepada 759,000 unit pada September, lebih tinggi daripada anggaran konsensus sebanyak 680,000 unit.

Iklan
Iklan

Ia adalah paras tertinggi sejak Februari 2022.

Pada 9 pagi, ringgit merosot nilai kepada 4.7850/7895 berbanding dolar AS daripada penutupan Rabu pada 4.7780/7830.

Iklan

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, berikutan data ekonomi AS terkini yang begitu positif, penanda aras bon Perbendaharaan AS meneruskan pergerakan ke arah paras 5.0 peratus.

Pemain pasaran turut menantikan anggaran awal keluaran dalam negara kasar suku ketiga AS lewat Khamis untuk mendapatkan hala tuju keputusan kadar faedah Rizab Persekutuan AS yang seterusnya sebelum mesyuaratnya pada akhir bulan ini.

Iklan

Pada sesi awal dagangan, ringgit kebanyakannya bergerak lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7851/7905 daripada 5.7905/7965 dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.1858/1890 daripada 3.1866/1902 semalam.

Bagaimanapun, nilai ringgit lemah berbanding euro kepada 5.0525/0572 daripada 5.0494/0547 sebelum ini.

Berbanding mata wang ASEAN yang lain, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Nilai ringgit meningkat berbanding dolar Singapura pada 3.4858/4896 daripada 3.4871/4910 dan mengukuh berbanding baht Thai pada 13.1637/1804 daripada 13.1960/2153 sebelumnya.

Namun begitu, mata wang tempatan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 301.4/301.9 daripada 301.0/301.5 dan turun berbanding peso Filipina pada 8.41/8.42 daripada 8.40/8.41 sebelumnya. - Bernama