WASHINGTON - Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), akhirnya mempunyai Speaker baharu selepas jawatan itu kosong selama tiga minggu.
Mike Johnson dipilih pada Rabu dengan 220 undi menyokong dan 209 menentang.
Anggota Kongres dari Parti Republikan itu adalah seseorang yang berfahaman konservatif dan beliau kurang mempunyai pengalaman dalam pucuk kepimpinan.
Kerusi Speaker Dewan Perwakilan menjadi kosong selepas Kevin McCarthy dipecat dalam pemberontakan bersejarah yang disertai 11 anggota Republikan sayap kanan pada 3 Oktober lalu.
Pemecatan itu berlaku selepas Republikan sayap kanan berang dengan kerjasama McCarthy bersama parti Demokrat.
Gerakan menjatuhkan McCarthy itu mendedahkan tahap huru-hara perbalahan dalam kalangan Republikan menuju Pilihan Raya Presiden 2024 yang dipercayai kini didahului bekas Presiden AS, Donald Trump, walaupun berdepan 91 kes mahkamah.
Ini adalah pemecatan pertama Speaker dalam sejarah 234 tahun Dewan itu, yang hanya disokong oleh segelintir penyokong tegar Republikan sayap kanan.
Sejak itu, pihak Republikan yang menguasai Dewan Perwakilan dengan kelebihan undi yang kecil telah menolak tiga calon untuk menggantikan McCarthy.
Susulan pelantikan Johnson, Presiden Joe Biden meminta beliau supaya segera bertindak untuk meluluskan bantuan ketenteraan bagi Israel dan Ukraine. - Agensi