SHAH ALAM - Night Run Elmina yang akan berlangsung pada 4 November depan dianjurkan untuk menyatupadukan antara komuniti dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Communication for Behavioural Impact (COMBI) dan Kawasan Rukun Tertangga (KRT).
Pengerusi COMBI Daerah Petaling, Ahmad Faudzi Mohd Nazam berkata, beliau percaya aktiviti bersukan dapat mengetepikan segala perbezaan fahaman dan mampu mewujudkan suasana harmoni.
Menurutnya, Night Run Elmina sejauh tiga kilometer (km) itu merupakan acara komuniti untuk mencapai empat objektif utama.
"Pertama, kita mahu mewujudkan kepelbagaian kerjasama antara sektor korporat, agensi kerajaan, syarikat swasta dan NGO.
"Seterusnya, kita mahu melahirkan semangat perpaduan dalam komuniti daerah Petaling.
"Ketiga, melahirkan kesedaran dalam kalangan komuniti setempat untuk menyayangi dan menjaga kesihatan diri sendiri serta kesihatan persekitaran,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Tambah Ahmad Faudzi lagi, objektif terakhir adalah untuk membina sebuah asas komuniti yang mampan selain dapat menyumbang kepada peningkatan nilai kemasyarakatan.
Dalam pada itu, beliau turut menyasarkan lebih 500 penyertaan akan mengikuti acara larian yang bermula pada jam 8.30 malam di Elmina Central Park.
Sementara itu, Ketua Pemasaran dan Penjenamaannya Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, objektif program yang digariskan menarik minat Sinar Harian untuk turut berkolaborasi bersama.
"Melihat kepada ketiga-tiga objektif yang digariskan, ia mempunyai persamaan dengan penubuhan Sinar Harian iaitu mahu merapatkan komuniti tanpa mengira perbezaan agama, bangsa, taraf ekonomi dan fahaman politik.
"Jika diteliti, setiap acara sukan yang diadakan di Malaysia, ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak,” katanya.