Pesara polis terharu terima kerusi roda

Iklan
Amran (dua, kiri) beramah mesra dengan Zaliah (kiri) dan Abdul Aziz ketika lawatan ke rumah mereka di Peramu Jaya 3, hari ini.
PEKAN - Seorang pesara polis yang menderita sakit saraf terharu menerima sebuah kerusi roda bagi memudahkan pergerakan di rumahnya di Lorong Intan, Peramu Jaya 3 di sini, semalam.

Selain kerusi roda, Abdul Aziz Omar, 82, turut menerima bantuan barangan keperluan harian sumbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri serta Persatuan Bekas Polis Pahang.

Isterinya, Zaliah budin, 78, ketika ditemui bersyukur kerana penderitaan yang ditanggung suaminya selama ini semakin ringan apabila menerima kerusi roda tersebut.

"Suami saya sakit saraf yang menyebabkan dirinya tak lagi boleh bangun sendiri untuk lakukan sesuatu dan tak berapa boleh bercakap.

"Kerusi roda yang diberikan ini pula sangat meringankan beban saya sebab saya tak perlu papah jauh-jauh suami saya untuk ke bilik air, lagipun saya sendiri pun dah tak berapa larat,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Program Perwira Tak Didendang di rumahnya di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Amran Sidek; Penolong Pengarah MKN Pahang, Leftenan Kolonel Abd Wahab Abd Rahman dan Timbalan Pengarah Penerangan Pahang, Mohammed Lokman Mahmud.

Dalam pada itu, Amran berkata, Abdul Aziz antara tiga penerima kerusi roda manakala 16 lagi pesara polis menerima sumbangan keperluan harian.

"Program sebegini memberi nilai positif dan harapan baru kepada penerima yang dianggap wira kerana kerana penerima ini ada sebahagian mereka pernah bertugas di zaman penjajah.

"Kita harap sumbangan ini dapat memberi kelegaan dan meringankan sedikit beban mereka. Saya juga berharap usaha seperti ini akan diteruskan lagi oleh mana-mana agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta untuk memartabatkan imej bekas polis,” katanya.