SHAH ALAM - Kejohanan E-Sukan Rakan Muda Luar Bandar 2023 melibatkan pertandingan Mobile Legend dan PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG) bakal berlangsung pada 2 dan 3 November ini di Hotel Summit USJ, Selangor.
Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, penganjuran buat julung kali itu mendapat kerjasama Maqna Momento Sdn Bhd (Maqna), Playbook Academy dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
Menurutnya, ia bertujuan memperkasakan hubungan dengan komuniti terutama masyarakat Orang Asli dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM50,000
"Bagi acara Mobile Legend, seramai lima peserta setiap pasukan manakala PUBG empat peserta satu pasukan dengan hadiah tempat pertama sebanyak RM10,000; kedua RM7,000; ketiga RM5,000 dan keempat RM3,000
"Kejohanan ini bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai sukan elektronik (e-sukan) yang memberi banyak peluang menjana pendapatan lumayan.
"Industri ini juga berpotensi menjadi sistem ekonomi baharu dan penting pada masa hadapan,” katanya pada Rabu.
Tambah Nik Justin, penganjuran kejohanan itu merupakan kesinambungan kerjasama Sinar Harian dengan Maqna selain memberi pengalaman baharu kepada pihaknya.
Eksekutif Pembangunan Perniagaan E-Sukan Maqna, Mohamad Firdaus Hakimi Othman pula berharap kerjasama tersebut membantu mereka memberi lebih pendedahan berkaitan e-sukan kepada rakyat negara ini termasuk di kawasan luar bandar.
"Sesetengah pemikiran masyarakat terutama ibu bapa menyatakan sukan elektronik ini membawa anasir buruk dan tidak bermanfaat kepada golongan muda.
"Jadi, kolaborasi ini dapat memberi kesedaran bahawa e-sukan boleh menjadi satu cabang kerjaya dan merupakan aktiviti yang sihat,” katanya.
Kejohanan tersebut terbuka kepada individu berumur 15 tahun ke atas dan pendaftaran dibuka mulai 24 hingga 31 Oktober ini melalui pautan google form, PUBGM: https://forms.gle/gFZHoaUKVk2nFsxL7 dan MLBB: https://forms.gle/kNAfCJvB19PUSiiP7.