KUALA LUMPUR - Malaysia bersama Liga Arab dan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan terus memberi tekanan supaya hasrat Israel untuk melakukan pencerobohan darat ke atas Gaza tidak berlaku.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, meskipun rancangan rejim Zionis itu sudah diketahui sejak dua minggu lalu, namun sehingga hari ini serangan itu masih belum dilakukan.
"Walaupun sudah lebih dua minggu mereka merancang (pencerobohan darat ke atas Gaza) tetapi masih belum dilakukan.
"Tetapi kita tak boleh mengambil mudah kerana mereka (Israel) sedang siap sedia untuk melakukannya. Sebab itulah Malaysia dan negara OIC bertungkus lumus dalam beberapa hari ini untuk memastikan perkara itu (serangan) tidak dilakukan," katanya bagi menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Media antarabangsa melaporkan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memaklumkan negara itu sedang bersedia untuk melakukan pencerobohan darat ke atas Gaza.
Benjamin dilapor berkata, keputusan mengenai bila tentera akan memasuki kawasan Palestin yang dikawal oleh Hamas akan dibuat kabinet perang khas kerajaan, termasuk satu daripada ketua parti pembangkang.
Dalam pada itu, Zambry memaklumkan, beliau sepatutnya berada di New York, Amerika Syarikat untuk menyertai rakan sejawat dari negara lain menyertai Sesi Khas Kecemasan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Namun katanya, beliau ditugaskan untuk berada di tempat lain bagi melaksanakan misi mengekang tindakan yang dirancang Israel.
"Hari ini akan diadakan satu persidangan khas PBB dan semua negara terlibat akan diberik peluang untuk menyampaikan pandangan mereka supaya disegerakan langkah-langkah untuk menghentikan segala bentuk serangan ke atas Gaza.
"Malaysia melakukan sebaik-baiknya, pergi seluruh dunia untuk nyatakan pendirian. Isu Palestin kita tidak berbeza, kita akan terus perjuangan untuk memastikan akhirnya perjuangan Palestin dapat diselesaikan bersama,” tegasnya.