KUANTAN - Pahang telah menerima 900 metrik tan bekalan beras putih tempatan untuk keperluan pasaran di negeri ini.
Bekalan beras diterima dari Kedah dan Kelantan di bawah Program Pelepasan Beras Putih Tempatan itu diagihkan kepada lima syarikat pembekal yang dilantik untuk diedarkan.
Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Pahang, Hamizan Musa berkata, lima syarikat pembekal telah dilantik iaitu dua di Kuantan manakala masing-masing satu di Jengka, Maran dan Triang.
Menurutnya, setiap syarikat akan menerima bekalan sama rata antara 100 hingga 200 metrik tan kali ini.
"Bekalan beras seterusnya akan diterima secara berperingkat setiap bulan bergantung kepada musim tuaian di negeri-negeri pengeluar beras di seluruh negara yang lain seperti Kelantan, Terengganu, Selangor dan Perak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika di temui pada Program Pelepasan Beras Putih Tempatan ke Pasaran oleh salah sebuah syarikat pembekal, Mumtaz Iman Sdn Bhd di Indera Mahkota di sini pada Khamis
Program disempurnakan Setiausaha Politik Menteri Besar Pahang, Mohd Farid Mohd Nor.
Hamizan berkata, program itu salah satu inisiatif kerajaan bagi memastikan keberadaan beras tempatan di pasaran.
"Melalui bekalan beras putih tempatan yang diterima kali ini diharap ia dapat mengatasi masalah kekurangan beras jenis itu dalam pasaran tempatan.
"Walaupun tidak dapat menyelesaikan masalah itu sepenuhnya, sekurang-kurangnya langkah ini dapat memastikan bekalan beras tempatan sentiasa ada di pasaran," katanya.
Justeru itu, beliau menasihatkan para pengguna agar membeli beras mengikut keperluan dan tidak melakukan pembelian panik yang menjadi antara punca gangguan bekalan bahan makan utama itu di pasaran.
Sementara itu, Mohd Farid berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan langkah kerajaan dalam usaha menstabilkan bekalan beras tempatan di seluruh negara termasuk di Pahang itu.
Menurutnya, program itu sedikit sebanyak dapat mengatasi masalah kekurangan beras tempatan di seluruh negara sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
"Kerajaan negeri sentiasa bekerja rapat dengan pihak Kawal Selia Padi dan Beras untuk mencari kaedah sesuai bagi membantu rakyat dalam isu ini," katanya.