KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor dijangka memberi tumpuan bagi menambah baik program Iltizam Selangor Sihat (ISS) dalam Belanjawan Selangor 2024 yang akan dibentangkan pada 10 November ini.
Exco Kesihatan Awam, Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, penambahbaikan program itu termasuk dalam pelan perancangan negeri pada tahun depan.
"Saya tak akan umumkan (pelan perancangan ISS, sebaliknya) ia akan diumumkan MB (Menteri Besar)," katanya ketika ditemui pada Program Masyarakat Sihat (MaSiH) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Auditorium 2, Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam di sini pada Khamis.
Menurut Jamaliah, program ISS yang diperkenalkan kerajaan negeri merupakan perlindungan kesihatan rakyat yang popular di Selangor.
Jelas beliau, program ISS memberikan bantuan rawatan asas sehingga RM500, perlindungan sehingga RM5,000 dan khairat kematian berjumlah RM1,000.
"Contohnya individu menerima skim ini apabila dikenakan caj rawatan perubatan RM100 (di klinik) hanya membayar RM30 sahaja, manakala baki RM70 lagi ditanggung kerajaan negeri," ujarnya.
Dalam belanjawan itu juga, beliau yakin kerajaan negeri akan turut memfokuskan kepada program pencegahan penyakit.
Jelas beliau, program berbentuk kesedaran dan hebahan mengenai pencegahan penyakit perlu diperhebatkan dari masa ke masa.
"Sekiranya kita ingin menjimatkan kewangan sama ada di peringkat kerajaan atau mana-mana (organisasi) dalam masyarakat, kita kena fokus kepada (kempen) pencegahan (kesihatan awam).
"Tahun depan, kita akan mengadakan lebih banyak karnival dan kempen pencegahan bagi memastikan kesihatan rakyat lebih diberi keutamaan," tambahnya.
Mengulas mengenai MaSiH UiTM, Jamaliah berkata, program itu inisiatif pihak Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam dengan kerjasama Pfizer Malaysia Sdn Bhd berkonsepkan saringan kesihatan, promosi dan pendidikan kesihatan, kaunseling, vaksinasi masyarakat serta aktiviti sukarelawan.
Beliau berkata, kerjasama itu adalah kunci kejayaan intervensi kesihatan dalam komuniti sekali gus dapat mencapai matlamat melahirkan komuniti sihat.
"Program ini menyediakan perkhidmatan secara percuma dan dijangkakan mampu mengurangkan beban golongan B40," jelasnya.