SHAH ALAM - Novel terbaharu keluaran Alaf 21, ‘Bitter Honey’ merupakan karya pertama Seri Maya yang berkisahkan tentang hidup berpoligami.
Seri Maya atau nama sebenarnya Hasrinawaty Mohd Hassan, 44, berkata, dia menjadikan kisah kenalan rapat sebagai ilham dalam menghasilkan sebuah karya kehidupan berkongsi kasih.
"Sejujurnya saya khuatir penerimaan orang ramai terhadap penulisan ini kerana ia merupakan isu sensitif dalam masyarakat iaitu berpoligami.
"Tidak semua orang boleh menerima kehidupan berkongsi suami dalam berumah tangga, namun apa yang saya ingin ketengahkan dalam novel ini adalah tentang perasaan dan cara mengawal perhubungan suami isteri,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis.
Dalam pada itu, ibu kepada lima cahaya mata itu berkongsi cerita bahawa dia begitu menyukai kisah-kisah sedih dan mengambil pendekatan untuk menghasilkan karya yang mampu meruntun jiwa.
Seri Maya berkata, rata-rata pembaca menyukai kisah hidup berpoligami kerana ia dekat dengan masyarakat dan memiliki jalan cerita yang menyedihkan.
Tambahnya, dia sama sekali tidak menyangka karya yang dihasilkan selama lebih dua tahun itu menjadi titik permulaan kehidupan sebagai novelis.
"Sebagai seorang penulis baharu, saya tidak menyangka karya ini akan diterima ramai.
Alhamdulillah, melihat kepada sambutan menggalakkan itu, ia membuatkan saya bersemangat untuk menghasilkan novel yang lebih baik,” ujarnya.
Pada masa sama, dia turut berkongsi kisah permulaan ‘terjebak’ dalam dunia penulisan manuskrip.
Katanya, sebelum ini dia bekerja sebagai pegawai eksekutif di sebuah syarikat swasta namun, mengambil keputusan untuk menamatkan kerjaya kerana mahu fokus membesarkan anak.
"Lama-kelamaan, saya berhadapan dengan persepsi orang ramai yang memandang rendah terhadap suri rumah.
Disebabkan itu, saya mula memikirkan kerjaya lain yang boleh dilakukan di rumah.
"Memandangkan saya suka untuk menulis maka saya cuba untuk menulis manuskrip dengan jalan cerita yang disukai itu genre keluarga dan sedih,” ujarnya.