PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan dua gol pantas yang diperolehi kelab Vietnam, kelab Vietnam, Hai Phong FC menjadi punca kekalahan dalam aksi Kumpulan H, Piala AFC di Stadium Lach Tray di Hanoi pada Rabu.
Menurutnya, pemain The Rhinos cuba bangkit dengan aksi lebih baik selepas ketinggalan, namun tidak dapat mencari gol penyamaan dan terpaksa akur tewas 2-3 kepada pasukan tuan rumah.
"Sudah tentu tidak bagus untuk kita bolos dua gol pantas dan memusnahkan 'game plan'. Kami tahu Hai Phong memerlukan kemenangan untuk menghidupkan peluang mereka ke pusingan seterusnya.
"Saingan belum berakhir, mereka merupakan pasukan yang berkualiti, tetapi pemain kami menunjukkan karakter yang bagus. Kami ketinggalan dua gol dan cuba bangkit tetapi malangnya kami tidak dapat gol penyamaan," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, Hai Phong mendapat dua gol menerusi Nguyen Huu Son minit ke-14 dan Dam Tien Dung (m-18) pada separuh masa pertama.
Sabah merapatkan kedudukan menerusi Ramon Machado pada minit ke-71, namun Hai Phong kembali menjarakkan kedudukan sekali lagi menerusi Tien Dung seminit selepas itu.
Gary Steven Robbat berhasil memberikan gol kedua buat Sabah pada minit ke-80 namun usaha mereka untuk mencari gol penyamaan tidak berhasil sehingga perlawanan tamat.
Dalam pada itu, Kim Swee turut mengakui kepenatan beberapa pemain utama selepas menyertai pasukan kebangsaan turut memberikan kesan kepada The Rhinos.
"Pemain pasukan kebangsaan seperti Dominic Tan, Darren Lok, stuart Wilkin dan Daniel Ting memberikan kesan kepada persembahan pasukan walaupun mereka ada yang tidak diturunkan atau hanya bermain sekejap.
"Mereka keletihan tetapi tetap memberikan komitmen penuh dan saingan kepada pasukan lawan," katanya.