'Urus hasil cukai negara dengan integriti'

Iklan
HUSSAIN YUSRI

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk mengurus cukai dengan penuh integriti dan bertanggungjawab bagi mengelak hasil kutipannya tiris dan digunakan ke arah yang salah terutamanya melibatkan perkara rasuah.

Menurut Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZa) Dr Hussain Yusri Zawawi, pengurusan cukai yang penuh integriti adalah satu aspek penting dalam pentadbiran negara yang mempunyai kesan yang jauh mengatasi sekadar perkara fiskal semata-mata.

Iklan
Iklan

Jelasnya lagi, integriti dalam pengagihan cukai adalah landasan utama yang mesti diletakkan oleh kerajaan untuk memastikan keadilan, kebolehpercayaan, dan keadilan dalam sistem cukai negara.

"Pengurusan cukai negara perlu diuruskan dengan penuh tanggungjawab kerana ia merupakan aspek yang kritikal dalam sistem pentadbiran negara. Cukai rakyat adalah sebahagian daripada sumber pendapatan kerajaan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan dan pengendalian pelbagai program serta perkhidmatan awam yang memberi manfaat kepada rakyat.

Iklan

"Justeru itu, kerajaan mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memastikan pengurusan cukai dapat memberi manfaat kepada rakyat dan negara," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambahnya, selain itu, integriti dalam pengagihan dana cukai adalah penting untuk memastikan bahawa dana awam digunakan dengan efisien dan berkesan demi manfaat semua rakyat.

Iklan

"Apabila kerajaan memastikan bahawa dana cukai diperuntukan kepada perkhidmatan awam, pendidikan, kesihatan, infrastruktur, dan pembangunan ekonomi secara berkesan, ini membantu dalam membangunkan negara dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

"Namun, tanpa integriti dalam pengagihan dana cukai, risiko penggunaan dana untuk tujuan peribadi atau rasuah boleh meningkat, dan ini boleh merosakkan pembangunan negara," katanya.

Jelasnya, di samping itu, integriti dalam pengurusan cukai juga memainkan peranan yang penting dalam memelihara keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan sistem cukai.

"Apabila rakyat melihat bahawa cukai mereka dikelola dengan telus dan adil, mereka akan lebih bersedia untuk membayar cukai dengan rela hati, dan ini akan meningkatkan kecekapan dalam pengutipan cukai dan sekali gus memberi keyakinan kepada rakyat bahawa dana cukai mereka akan digunakan dengan sebaiknya demi kepentingan bersama," katanya.

Tegasnya, dalam masa yang sama, integriti dalam pengurusan cukai membantu dalam mencegah penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Ini kerana, apabila integriti diberikan keutamaan, ia mewujudkan pengawasan yang lebih baik dan akauntabiliti dalam proses agihan cukai.

"Ini membantu dalam mencegah penyalahgunaan hasil cukai juga dan secara tidak langsung dapat menyokong program-program ekonomi dan sosial yang membantu dalam menjaga kesejahteraan rakyat termasuklah bantuan kewangan kepada golongan yang memerlukan, peluang pekerjaan, dan inovasi dalam bidang pendidikan dan kesihatan.

"Pentingnya integriti dalam pengurusan cukai oleh kerajaan tidak boleh diabaikan. Ini bukan hanya mengenai aspek fiskal semata-mata, tetapi juga berkaitan dengan keadilan, kebolehpercayaan, dan keyakinan dalam pemerintahan.

"Kerajaan perlu memastikan bahawa pengutipan dan pengagihan cukai dilakukan dengan penuh integriti untuk memastikan kesejahteraan dan kemajuan negara serta menjaga kepercayaan rakyat terhadap kerajaan," jelasnya.

Terdahulu, hasil kerajaan Persekutuan pada 2024 dijangka mencatatkan pertumbuhan marginal sebanyak 1.5 peratus kepada RM307.6 bilion atau 15.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) didorong oleh kutipan cukai yang lebih tinggi.

Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, hasil cukai terus menjadi penyumbang utama dan dijangka meningkat sebanyak 6.4 peratus kepada RM243.6 bilion, iaitu 79.2 peratus daripada jumlah hasil atau 12.3 peratus daripada KDNK.