SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan Minggu Solidariti Palestin bermula pada 29 Oktober hingga 3 November ini.
KPM dalam satu kenyataan memaklumkan, program itu bertujuan untuk mendidik murid tentang nilai kemanusiaan yang merangkumi hak asasi manusia dan sifat ihsan termasuk keprihatinan terhadap penderitaan individu lain tanpa mengira bangsa, agama atau status sosial.
Menurut kenyataan itu, Minggu Solidariti Palestin adalah kesinambungan penerapan nilai-nilai murni yang terkandung dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik kerana ia berteraskan sikap hormat-menghormati, kasih sayang, bertanggungjawab dan kegembiraan.
"Pelbagai aktiviti akan dilaksanakan sepanjang program ini dan disesuaikan berdasarkan kepada garis panduan sedia ada, sekolah dan kumpulan murid terlibat.
"Aktiviti kerohanian seperti solat hajat dan bermunajat hanya melibatkan murid-murid beragama Islam sahaja,” kata kenyataan itu pada Khamis.
Dalam pada itu, KPM memberitahu, program berkenaan melibatkan kesemua institusi pendidikan bawah KPM iaitu sekolah, kolej vokasional, matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru di seluruh negara.
Jelas kenyataan itu, KPM menyahut pendirian kerajaan untuk terus bersama-sama mempertahankan hak dan kebebasan rakyat Palestin.
"Sokongan ini adalah satu bentuk solidariti terhadap nilai kemanusiaan yang mementingkan kedamaian dan keamanan sejagat.
"KPM sentiasa berusaha memupuk nilai kemanusiaan dan mencintai keamanan sejagat dalam kalangan murid-murid agar mereka sentiasa cakna dan responsif terhadap isu semasa," kata kenyataan itu.