ISU berkaitan pekerjaan tidak boleh dipandang enteng kerana ia melibatkan peningkatan sosioekonomi seseorang individu.
Setiap orang memerlukan pekerjaan demi kelangsungan hidup pada zaman yang penuh cabaran ini.
Peningkatan kos sara hidup yang terlalu mencanak dengan bebanan barang mahal membuatkan semua orang tiada peluang untuk bersikap memilih kerja.
Ada juga kalangan rakyat Malaysia yang melakukan lebih daripada satu kerja dalam kehidupan mereka.
Namun begitu, tahap pengangguran dalam kalangan graduan didapati masih tinggi walaupun negara memiliki jumlah graduan ijazah kelas pertama yang ramai.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) amat mengalu-alukan kerjasama swasta-awam dalam membantu graduan kekal relevan dalam pasaran kerja dengan membekalkan kemahiran yang tepat.
"Malaysia menghasilkan jumlah belia berpelajaran yang ramai namun menurut penyelidikan Khazanah, pengangguran dalam kalangan belia kekal meningkat dengan ketara daripada 9.94 peratus pada tahun 2011 kepada 10.92 peratus pada 2018,” kata Maszlee ketika melancarkan program KPM-Celcom Siswapreneur@Google Bootcamp 2019 baru-baru ini.
Bagi saya, istilah belia terlalu memilih kerja tidak boleh dipukul rata dalam kalangan masyarakat kita.
Ini kerana terdapat belia yang memegang ijazah sanggup melakukan kerja sebagai pemandu Grab, penjual makanan dan pelbagai lagi.
Keperluan kewangan memaksa mereka mengetepikan perasaan mahukan tangga gaji yang sesuai dengan kelulusan.
Mereka perlu mengaut sahaja peluang terhidang bagi mendapatkan wang demi kelansungan hidup.
Tidak dapat dinafikan, kerenah majikan juga menjadi faktor penyumbang kepada kesukaran mendapatkan pekerjaan pada zaman sekarang.
Rata-rata majikan mahukan pekerja berpengalaman serta boleh melakukan kerja tanpa perlu diberikan latihan sepatutnya.
Majikan seolah-olah berkira untuk memperuntukkan bajet menghantar pekerja bagi mendapatkan kursus berkaitan skop pekerjaan dan hanya mengharapkan pekerja yang datang memiliki pakej yang lengkap.
Permintaan yang tinggi ini menjadi penghalang buat graduan baharu mendapatkan pekerjaan.
Nilai diri graduan
Selain daripada faktor majikan, nilai diri graduan juga menjadi kayu ukur untuk mereka mendapatkan pekerjaan.
Alam belajar dan pekerjaan sangat berbeza dan menuntut seseorang itu untuk bijak membawa diri.
Ada dalam kalangan graduan yang memohon pekerjaan dengan cara yang tidak mengikut standard keperluan majikan.
Berdasarkan apa yang penulis amati, terdapat juga graduan yang mempunyai keputusan cemerlang dalam akademik tetapi tidak pandai membuat resume yang baik.
Sehinggakan apa yang terkandung di dalam resume adalah perkara yang tidak membantu majikan untuk menilai keistimewaan diri graduan.
Seharusnya, resume menjadi penanda aras buat majikan untuk menilai mereka yang mahu mendapatkan pekerjaan.
Persaingan juga menjadi topik hangat dalam peluang mendapatkan pekerjaan memandangkan ramai graduan yang cemerlang masih belum bekerja.
Kebanyakan mereka perlu bersaing antara satu sama lain bagi mendapatkan sesuatu posisi jawatan di sesebuah syarikat.
Apabila terlalu banyak persaingan maka majikan menjadi rambang mata untuk memilih mereka yang benar-benar layak.
Namun begitu, di sebalik kesusahan memilih terdapat juga majikan yang mengambil sikap pejam mata dan hanya memilih pekerja berdasarkan faktor wujudnya ‘orang dalam’.
Risiko pengambilan pekerja dengan cara sebegini akan dapat dilihat dari segi kualiti kerja seseorang individu.
Konklusinya, graduan sebenarnya perlu lebih peka akan kehendak pasaran kerja dan majikan pula perlu bertolak ansur dalam memilih pekerja di syarikat mereka.
Buat graduan yang masih belum mempunyai pekerjaan berusahalah mencari peluang, jika masih belum muncul, belajarlah untuk membina peluang.
Insya-ALLAH selagi kita bernafas, rezeki pasti ada untuk kita meneruskan hidup. Istilah rezeki perlu difahami dalam konteks yang luas dan jelas kerana ia bukan sahaja merujuk kepada wang ringgit dan pekerjaan semata-mata sebaliknya meliputi pelbagai perkara seperti makan, minum, zuriat dan juga kesihatan.
* Norjuliana Yaacob ialah wartawan Sinar Harian edisi Utara