'Mana ada Pas, PN Perlis bergolak?'

Iklan
Keputusan PRU15 menyaksikan PN berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu selepas memenangi 14 kerusi DUN. - Foto Bernama.

Shahidan nafi tidak sebulu dengan MB Perlis

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menolak dakwaan kononnya kepimpinan Pas dan Perikatan Nasional (PN) Perlis kini sedang bergolak sebagaimana dilontarkan segelintir pihak.

Bekas Menteri Besar Perlis yang kini menyertai Pas itu turut menegaskan semua pemimpin Pas negeri berkenaan sentiasa bersatu hati dan tidak pernah berselisih faham antara satu sama lain.

Justeru, sebarang tohmahan wujud perang dingin antara Shahidan dan Menteri Besar merangkap Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd Shukri Ramli kerana beberapa isu dalaman dan soal kefahaman berhubung agama yang berbangkit, disifatkan sebagai tidak benar.

"Kenapa saya nak berselisih faham dengan Menteri Besar Perlis? Saya bukan (Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan tiada apa-apa kepentingan atau mahu merebut jawatan dalam kerajaan negeri sekarang.

"Saya dan Cikgu Shukri (Menteri Besar Perlis) sekarang berkawan baik dan sama-sama dalam Pas. Kami mana boleh bergaduh kerana berada dalam parti dan jemaah yang sama," katanya kepada Sinar Premium.

SHAHIDAN
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Shahidan berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa koalisi Perikatan Nasional (PN) Perlis kini bergolak susulan berlaku 'pergolakan dalaman' Pas negeri.

Ketua Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis, Abu Bakar Hamzah mendakwa 'pergolakan' itu melibatkan isu kefahaman agama, susun atur gerak kerja dan pentadbiran negeri itu yang dimenangi PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, sekali gus menamatkan dominasi Barisan Nasional (BN).

Kenyataan itu menyusul selepas peringatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam Muktamar Pas ke-69 di sini Ahad lalu agar ahli parti tidak menjadi 'penebuk kapal' untuk menjatuhkan kerajaan diperintahnya.

Mengulas lanjut, Shahidan menegaskan beliau percaya dakwaan perselisihan faham di antara beliau dan Cikgu Shukri sengaja ditimbulkan pihak tertentu untuk menimbulkan persepsi negatif terhadapnya yang kini bersama Pas di Perlis.

MOHD SHUKRI - Foto Bernama.


"Sebab itulah kamu (media) kena tanya orang timbulkan dakwaan itu kenapa dia mendakwa Pas Perlis kini bergolak? Sedang hubungan kami baik-baik sahaja," katanya.

Sebelum ini, Shahidan pernah menegaskan beliau selesa memilih wala' (kesetiaan) kepada parti dan tidak berminat bertanding jawatan dalam Pas.

Justeru itu, bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berharap semua pihak tidak lagi mengusulkan soalan mengenai kedudukannya dalam parti itu.

"Saya wala' sekarang. Jangan tanya lagi soalan itu. Saya sudah nyatakan di Parlimen saya adalah ahli Pas dan PN sejati," katanya.