PUTRAJAYA - Malaysia terus memberikan fokus terhadap agenda pembaharuan perbandaran untuk menjadikan negara lebih hijau, pintar dan mampan sejajar Agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Beliau mengutarakan perkara itu dalam Kenyataan Negara pada Forum Perbandaran Asia-Pasifik Ke-8 (APUF8) anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membincangkan pelbagai isu perbandaran, yang berlangsung di Suwon, Korea Selatan dari 22 hingga 26 Oktober ini.
Kor Ming ketika menyampaikan Kenyataan Negara itu berkata, usaha pembaharuan perbandaran dapat memulihkan kawasan bandar daif dan usang yang mengalami susut nilai serta tidak ekonomik menerusi pelaksanaan Garis Panduan Pembaharuan Perbandaran.
"Ini menunjukkan Malaysia sedang berusaha untuk memodenkan pembangunan bandar yang lebih efisien dan mampan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Rabu sempena penyertaan beliau ke APUF8 itu.
Menurutnya, perancangan dan pembangunan bandar merupakan agenda ekonomi dan sosial yang penting bagi Malaysia, memandangkan kadar urbanisasi kini adalah pada 78 peratus dan dijangka meningkat kepada 84 peratus pada 2040.
Beliau berkata, Malaysia kini dalam Fasa 2 pelaksanaan SDG Nasional yang telah diselaraskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 memfokuskan pada mengukuhkan kemampanan dan tadbir urus, membina masyarakat makmur dan mencapai negara berpendapatan tinggi.
Kor Ming berkata, penyetempatan SDG juga dipercepat menerusi SDG Cities Roadmap iaitu dokumen panduan bagi mendorong bandar-bandar untuk membangunkan Hala Tuju SDG 2030 dan memperkasa pihak berkepentingan tempatan dalam melaksanakan matlamat global.
Beliau berkata, daripada 155 pihak berkuasa tempatan (PBT), sebanyak 45 bandar, bersamaan 30 peratus, telah menyediakan hala tuju yang selaras dengan agenda mempercepat pelaksanaan SDG. - Bernama