Young Tigers mahu langkah kanan

Iklan
I Vikneswaran - Foto Bernama

SKUAD hoki negara mahu memulakan aksi kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 dengan langkah kanan apabila berdepan New Zealand pada aksi pembukaan di Stadium Hoki Taman Daya, pada Jumaat.

Justeru menurut pengurus skuad The Young Tigers, I Vikneswaran, kesemua pemain diharap memberikan fokus dan bersedia bagi menghasilkan keputusan positif.

Iklan
Iklan

"Kita nak mulakan dengan langkah kanan, namun dalam masa sama, kita tak mahu berikan apa-apa tekanan kepada pemain kerana apa yang penting pemain bersemangat dan bersedia.

"Pemain yang kita turunkan pun tak semestinya pemain yang akan beraksi ke Piala Dunia nanti... kita masih ada pemain yang ketika ini cedera dan dalam proses pemulihan.

Iklan

"Jadi selepas SOJC, kita akan ada the best team (pasukan terbaik) dan mungkin ketika ini agak kurang adil untuk saya umumkan pemain atau peratusan pemain yang akan beraksi," katanya.

Selain skuad negara, kejohanan tahunan itu turut disertai New Zealand, Great Britain, Pakistan, Australia, Jerman, Afrika Selatan dan India selaku juara bertahan.

Iklan

Sementara itu, Vikneswaran berkata, SOJC kali ini dilihat sebagai pentas persediaan terbaik buat skuad remaja negara menjelang Piala Dunia Remaja 2023 yang dijadualkan berlangsung mulai 5 hingga 16 Disember depan.

Justeru katanya, SOJC juga bakal menjadi medan pemanas badan bagi kesemua pasukan yang beraksi kali ini.

"Tahun ni lapan pasukan ambil bahagian, tahun lalu enam tapi kali ni kita tambah sebab ada permintaan dari Eropah, Asia dan Afrika.

"Lagipun, Disember nanti kita ada Piala Dunia Remaja di Kuala Lumpur (Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil)... jadi kita tahu pasukan-pasukan yang datang ni semata-mata untuk 'warm up' (sesi memanaskan badan).

"Apa pun, kita pun mahu lakukan persediaan dan bermain untuk menang, takkan nak main untuk kalah," katanya.