KUALA LUMPUR - Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) didakwa mengeluarkan perkataan yang melanggar peraturan ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat pada Khamis.
Perkara itu dibangkitkan Chong Zhemin (PH-Kampar) merujuk ayat 'tidak pakai apa-apa' dikeluarkan Mohd Suhaimi yang ditujukan kepada Teresa Kok (PH-Seputeh).
Semuanya bermula ketika Teresa mencelah bertanya adakah boleh memakai seluar pendek di Langkawi, sewaktu Mohd Suhaimi berbahas meminta kerajaan membangunkan industri pelancongan di kawasan itu.
Teresa:"YB, sekarang kita pergi pantai Langkawi, boleh pakai seluar pendek ke?”.
Mohd Suhaimi:"OK, saya nak jemput khusus kepada Seputeh datang, tak mahu pakai apa pun tak apa... Yang dok tanya seluar pendek ini pasal apa?
Zhemin kemudian bangun mempertikaikan kenyataan itu:"Tak pakai apa-apa... bogel... mana boleh, itu melanggar peraturan".
Mohd Suhaimi kemudian menyambung:"Saya terlupa nak sebut, saya nak bayangkan bagaimana Seputeh datang tak pakai apa-apa pun.”
Tidak berdiam diri, Teresa membalas:"Ini lucahlah. Fikiran kurang bersih. Adoi,”.
Begitupun, isu itu selesai di situ sahaja selepas Timbalan Speaker, Alice Lau mengarahkan sidang diteruskan seperti biasa. - Awani