PUTRAJAYA - Program biasiswa MyBrain15 akan dilaksanakan semula tahun depan, dikenali sebagai MyBrain 2.0, demikian menurut Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Khamis.
Beliau berkata, program MyBrain 2.0 memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi setiap pengambilan dengan sasaran 500 orang setahun dalam bidang-bidang yang kompetitif di pelbagai peringkat.
Ia menyasarkan 500 penerima biasiswa setiap tahun dalam kalangan orang awam yang tidak bekerja atau tidak berpendapatan tetap termasuk pensyarah institut pendidikan tinggi swasta bagi melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah, katanya.
Pada Majlis Pelancaran MyBrain 2.0 dan penyampaian surat tawaran penajaan 2023 di sini hari ini, Mohamed Khaled berkata, program MyBrain15 merupakan antara produk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang berimpak tinggi dan diperkenalkan mulai 2011 namun dihentikan pada 2016.
Program MyBrain bertujuan meningkatkan jumlah pemegang ijazah lanjutan untuk memenuhi keperluan modal insan intelektual dan kepakaran tempatan bagi menyokong pembangunan negara.
Mohamed Khaled berkata, program MyBrain 2.0 melibatkan beberapa pengukuhan daripada aspek cakupan dan pelaksanaannya termasuklah pengemasan kontrak bagi mengelakkan pelanggaran terma penajaan dan pengukuhan sistem yang lebih bersifat digital dan mesra pengguna.
"Permohonan untuk penajaan program itu akan dibuka bermula Januari 2024,” katanya. - Bernama