Bakal tamat pemerintahan, Agong zahir penghargaan kepada Raja-Raja Melayu

Iklan
Al-Sultan Abdullah

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis menzahirkan penghargaan atas sokongan Raja-Raja Melayu yang membolehkan pelbagai peristiwa dan dugaan melanda negara dalam tempoh hampir lima tahun sejak 2019 dapat diatasi Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah, yang bakal menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari tahun depan, bertitah walaupun menempuh pelbagai peristiwa dan badai gelora, Raja-Raja Melayu sentiasa membantu mencari jalan penyelesaian terbaik demi kesejahteraan rakyat jelata.

Iklan
Iklan

"Sama ada ketika berhadapan kemelut politik dan pandemik Covid-19, sepanjang Paduka Adinda memerintah negara; Paduka Adinda sentiasa menjunjung sumpah yang telah dilafazkan iaitu untuk memerintah Malaysia yang kita cintai ini dengan secara adil menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan dengan sepenuh ketelusan hati.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262 di Istana Negara pada Khamis.

Iklan

Mesyuarat yang berlangsung sejak semalam dipengerusikan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Al-Sultan Abdullah bertitah menerusi sokongan padu Raja-Raja Melayu sepanjang pemerintahan Seri Paduka, ia akhirnya membawa negara dan rakyat jelata dilindungi daripada terus terjerumus ke kancah yang tidak menentu.

Iklan

"Ia mempunyai roh dan semangat sebagai instrumen semak dan imbang terakhir negara yang berupaya menggunakan budi bicara untuk menzahirkan kata putus tatkala negara menemui jalan buntu," titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah pada hemat Seri Paduka, Raja-Raja Melayu secara kolektif merupakan payung yang melindungi rakyat jelata serta benteng kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara.

Kekuatan yang mengalir dalam tubuh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah cerminan kepada daulat sekalian Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah turut menyorot beberapa peristiwa sepanjang tempoh Seri Paduka memerintah, antaranya apabila negara diselubungi dengan penularan pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan kepada ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat jelata sehingga Proklamasi Darurat terpaksa diisytiharkan dan Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

Terpahat dalam lipatan sejarah negara bahawa Seri Paduka merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang diberi keafiatan untuk memerintah negara dengan empat orang perdana menteri, bersama empat jemaah menteri yang berlainan.

"Begitu juga setelah negara menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15, buat pertama kalinya dalam sejarah demokrasi Malaysia, negara berhadapan dengan situasi Parlimen tergantung, dalam apa juga situasi Paduka Adinda telah memberi ruang kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mencapai satu kesepakatan atas prinsip perpaduan demi untuk masa hadapan negara," titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah turut menjunjung kasih kepada Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah atas kesudian menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong semasa ketiadaan Seri Paduka di tanah air atau tidak dapat menjalankan tugas kerana faktor kesihatan.

Esok, Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) akan diadakan bagi Raja-Raja Melayu membuat pengundian memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17 serta Timbalan Yang di-Pertuan Agong baharu. - Bernama.