KERAJAAN tidak berhasrat untuk memansuhkan levi keuntungan luar biasa ke atas industri sawit buat masa ini, kata Kementerian Kewangan.
Walau bagaimanapun, kementerian itu berkata, kerajaan sentiasa terbuka untuk mengkaji kaedah pengenaan levi ini termasuk kadar levi dan paras nilai ambang keuntungan bagi mengambil kira kelangsungan industri serta kos pengeluaran buah kelapa sawit dari masa ke masa.
Tambahnya, levi keuntungan luar biasa ke atas industri sawit telah dilaksanakan sejak tahun 1999 dengan menggunakan formula kiraan yang sama dengan sekarang, melainkan kadar levi dan nilai ambang yang telah dipinda dari semasa ke semasa
"Nilai ambang yang asal adalah RM2,000 dan nilai ambang terkini adalah RM3,000 bagi Semenanjung dan RM3,500 bagi Sabah dan Sarawak,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Kementerian Kewangan berkata kadar levi yang asal bagi Sabah dan Sarawak iaitu sebanyak 1.5 peratus telah diselaraskan dengan kadar levi di Semenanjung yang ditetapkan pada kadar 3.0 peratus.
"Walaupun kadar levi telah disamakan, nilai ambang keuntungan luar biasa bagi Sabah dan Sarawak ditetapkan lebih tinggi berbanding di Semenanjung bagi mengambil kira kos pengeluaran buah kelapa sawit yang lebih tinggi di kedua-dua negeri itu,” tambahnya. - Bernama