Teguran TMJ tepat pada masa

Iklan
Laporan Sukan Sinar sebelum ini. Gambar kecil: Wan Jamak

PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon diyakini terbuka untuk mendengar setiap pandangan yang dikemukakan oleh mana-mana pihak untuk membentuk pasukan mantap sebelum aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dan Piala Asia di Qatar Januari depan.

Jurulatih berpengalaman, Wan Jamak Wan Hassan berkata, Pan-gon merupakan seorang jurulatih yang profesional dan pendapat yang dilontarkan terutama oleh pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sudah tentu akan dilihat dan ditimbang sebaik mungkin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kekalahan kepada Tajikistan dalam Pestabola Merdeka memperlihatkan ada ruang yang perlu ditambah baik dan teguran daripada Tunku Ismail itu juga tiba tepat pada masanya.

"Sebagai jurulatih yang sudah dua tahun bersama pasukan kebangsaan, saya yakin Pan-gon akan sentiasa mencari cara untuk menambah baik pasukan dengan melihat para pemain yang boleh memberikan kualiti dalam pasukan kebangsaan.

Iklan

"Pandangan itu dilontarkan oleh seorang individu yang sememangnya sinonim dengan bola sepak negara selain mengetahui dengan baik kondisi setiap pemain di kelabnya itu.

"Bukanlah makna apa yang dicakap oleh TMJ itu perlu diambil 100 peratus, tetapi pandangan itu perlu diambil kira dan ditimbang sebaik mungkin oleh Pan-gon," katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini, Tunku Ismail mencadangkan agar Pan-gon memanggil beberapa pemain daripada JDT seperti Syahmi Safari dan Syafiq Ahmad untuk berada dalam pasukan Harimau Malaya pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dan Piala Asia di Qatar Januari depan.

Tunku Ismail berkata, Pan-gon tidak seharusnya mengamalkan sikap pilih kasih dan menyifatkan Syahmi serta Syafiq mempunyai kualiti diperlukan Harimau Malaya walaupun kurang mendapat minit permainan bersama JDT.

Malah, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor juga hairan Pan-gon tidak memanggil Afiq Fazail dan Feroz Baharudin yang tampil cemerlang musim ini bersama Harimau Selatan.

Dalam pada itu, Wan Jamak berkata, kesemua pemain dinyatakan Tunku Ismail itu juga pernah berada dalam sistem Harimau Malaya dan tidak berdepan masalah untuk beraksi dengan baik.

"Pernah tak dua pemain ini (Syafiq dan Syahmi) mewakili pasukan negara? Pernah dan mereka boleh bermain dengan baik. Cuma apa yang ditekankan adalah minit permainan kerana bila pergi ke JDT, mereka kena bersaing dengan pemain yang lebih bertaraf bintang.

"Namun, dari segi intensiti latihan dan sebagainya memang JDT telah melakukan yang terbaik dan tiada masalah untuk kedua-dua pemain ini berada dalam pasukan kebangsaan," katanya.