TINDAKAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan supaya semua jabatan kerajaan Persekutuan untuk tidak melayan atau memulangkan sahaja mana-mana surat selain daripada bahasa Kebangsaan baru-baru ini mendapat reaksi positif daripada banyak pihak.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan itu, pada masa ini ramai pihak dilihat terpesong daripada asas Perlembagaan apabila tidak menggunakan bahasa Kebangsaan.
Tambahan pula, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Isnin mendedahkan bahawa kebanyakan pemohon taraf warganegara dalam kalangan golongan warga emas gagal dalam ujian penguasaan Bahasa Melayu.
Ulas beliau, ujian penguasaan Bahasa Melayu adalah antara syarat bagi permohonan warganegara Malaysia.
Justeru, tidak hairan mengapa Perdana Menteri menegaskan penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan termasuk surat-menyurat.
Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan sewajarnya dimartabatkan menerusi urusan-urusan penting sama ada melibatkan sektor awam dan juga swasta.
Namun begitu, kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Michael Tiang Ming Tee pada Khamis berhubung isu berkenaan dijangka akan menjadi tanda tanya kepada pelaksanaan usaha kerajaan dalam memperkasakan bahasa Melayu.
Ming Tee berkata, kerajaan Persekutuan perlu menerima surat yang ditulis dalam bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi rasmi dari Sarawak.
Ujar beliau, kerajaan Persekutuan sebenarnya mempunyai kewajipan untuk melayan surat yang ditulis dalam bahasa Inggeris dari Sarawak sebagai komunikasi rasmi memandangkan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 tidak pernah dipanjangkan ke Sarawak.
Jelasnya, ia kerana penggunaan bahasa Inggeris di Sarawak dijamin oleh Perkara 161(3) Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan itu pastinya menimbulkan tanda tanya oleh beberapa pihak berkepentingan, adakah ia bermakna hanya kawasan Semenanjung sahaja yang tertakluk kepada usaha memartabatkan bahasa Melayu tetapi tidak kepada Sarawak?
Pastinya teka-teki kepada persoalan itu antara akan dijawab oleh kerajaan tidak lama lagi. Sudah tentu, rakyat sedang memerhati apakah penjelasan kerajaan yang akan diberikan berhubung isu tersebut.
Dalam soal itu, ketegasan Perdana Menteri dalam isu berkenaan akan menjadi penentu sama ada Sarawak perlu ikut atau boleh menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi.